Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
JDT, Terengganu tak puas hati keadaan padang Stadium Nasional

Kedua-dua finalis, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) tidak berpuas hati dengan keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 malam esok.

Ketua jurulatih JDT Esteban Solari berkata padang yang menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia itu tidak berada pada tahap terbaik dan menggesa semua pihak bekerjasama untuk memelihara hadiah daripada pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu.

Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Argentina berusia 43 tahun itu berkata walaupun apa jua keadaan padang, pasukannya akan terus memberikan aksi cemerlang dan mencipta kejayaan membanggakan.

“Tahun lepas rumput jenis cowgrass dan tahun ini kita mempunyai rumput yang hebat, malangnya tidak berada dalam keadaan terbaik …namun ia bukan keutamaan kita, kita sekarang mahu fokus kepada bermain dengan baik dan menang perlawanan akhir.

“Tidak kira apa pun keadaan padang, kita akan teruskan bermain dan menjadi pasukan sentiasa memberikan yang terbaik kepada bos (Tunku Ismail) dan peminat,” katanya pada sidang media praperlawanan akhir di Kuala Lumpur hari ini.

Pada masa sama, Kapten JDT Jordi Amat yang teruja untuk beraksi dalam final pertamanya berharap keadaan padang akan lebih baik esok.

“Saya harap keadaan padang akan lebih baik, sejujurnya, saya tidak begitu gembira...saya boleh nampak di tengah-tengah padang, rumpat tidak begitu baik, kita akan lihat esok ketika sesi memanaskan badan, akan lihat jika kita boleh bermain, jika tidak kita cuba elakkan bermain di kawasan itu,” kata pemain pertahanan berusia 31 tahun itu.

Sementara itu, Ketua jurulatih TFC Tomislav Steinbruckner yang juga tidak gembira dengan keadaan padang berkata walaupun tidak sempurna, tapi keadaan padang itu masih boleh diterima.

“Saya sudah lihat padang, dan lihat melalui media beberapa hari lepas, tidak sempurna tapi okey. Esok dua pasukan akan beraksi dan kita akan bergelut bersama untuk mencapai sasaran kita,” kata jurulatih Crotia-Jerman itu.

Isnin lepas, tular di media sosial mengenai keadaan terkini padang Stadium Nasional dan mendapat perhatian Tunku Ismail yang turut memuat naik keadaan padang yang kelihatan terjejas di laman sosial milik Tunku Ismail.

Ini merupakan kali kedua dalam tempoh kira-kira dua minggu Tunku Ismail memuat naik keadaan padang di Stadium Nasional dengan kali pertamanya dua hari selepas berlangsung konsert artis luar negara pada 22 Nov lepas.

Sebagai rekod, Tunku Ismail menghadiahkan rumput Zeon Zoysia kepada Stadium Nasional yang ditanam tahun ini.

JDT yang merupakan juara tiga kali Piala Malaysia dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia, manakala TFC pula memburu kejuaraan kedua selepas melakukannya pada 2001.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS