Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Sivasangari capai 15 teratas ranking dunia
Diterbitkan:  Dec 5, 2023 5:56 PM
Dikemaskini: 9:56 AM

Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) memuji pemain skuasy negara S Sivasangari susulan kejayaannya menaiki kedudukan 15 teratas Ranking Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) iaitu yang tertinggi dalam kerjayanya setakat ini.

Mengambil kira bahawa Sivasangari ditimpa kemalangan yang menjejaskan kerjayanya tahun lepas, Pengarah Kejurulatihan SRAM Mejar (B) S Maniam menyifatkan kesungguhan dan usaha atlet berusia 24 tahun itu untuk bangkit lebih kuat, sebagai sesuatu yang luar biasa.

"Dalam jangka masa yang sangat singkat, beliau membuktikan dirinya tanpa sebarang keraguan dengan kualiti permainannya. Sekarang, cabarannya selepas ini ialah untuk cuba mengekalkan kedudukan itu untuk seketika.

"Ketika di situ, untuk menaiki ke tangga 10 teratas dan lebih tinggi akan menjadi satu proses yang perlahan dan panjang yang perlu diiambil satu demi satu. Dan ia sangat sukar," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sukan (JKK) dengan Majlis Sukan Negara (MSN), di Bukit Jalil di Kuala Lumpur hari ini.

Juara Sukan Asia Hangzhou 2022 itu naik dua anak tangga dalam Ranking Dunia PSA (27 Nov) dan mengatasi kedudukan terbaiknya pada nombor 16 pada Julai 2022.

Kemalangan jalan raya pada Jun 2022 menyaksikan Sivasangari mengalami kecederaan kepala dan berehat selama hampir lapan bulan sebelum kembali beraksi di kejohanan skuasy Ivy League di New York, Februari lepas.

Kedudukan dunianya juga merosot hingga ke nombor 50 pada Jun lepas, kedudukan terendah selepas 2017 (kedudukan ke-61).

Sementara itu, Maniam berkata antara topik yang dibincangkan dalam mesyuarat bersama MSN ialah persiapan menghadapi Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles dan pemilihan Program Podium.

Beliau berkata MSN telah meluluskan sehingga 45 kejohanan tahun depan, di dalam dan luar negara, untuk pemain sebagai sebahagian daripada persiapan mereka menjelang temasya sukan terbesar dunia itu.

Dalam pada itu, beliau berkata lapan pemain lelaki dan lapan pemain wanita dipilih untuk menyertai Program Podium tahun depan.

Maniam berkata antara pemain lelaki terlibat ialah Ng Eain Yow, Mohd Syafiq Kamal, dan Addeen Idrakie manakala pemain wanita terdiri daripada Sivasangari, Rachel Arnold serta adik-beradik Aifa dan Aira Azman.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS