Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Hoki, badminton beregu campuran digugurkan dari program RTG
Diterbitkan:  Oct 31, 2023 6:13 PM
Dikemaskini: 10:13 AM

Program Road to Gold (RTG) hari ini mengumumkan pengguguran atlet dari program itu termasuk pasukan hoki lelaki kebangsaan yang gagal mencapai sasaran pingat emas yang mereka sendiri tetapkan di Sukan Asia Hangzhou 2022.

Mesyuarat ketiga Jawatankuasa RTG yang berlangsung hari ini turut memutuskan untuk menggugurkan atlet badminton, pasangan beregu campuran persendirian Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai selepas penilaian semula terhadap prestasi mereka.

Kedua-dua pasangan terbabit kini terkeluar dari ranking kelayakan ke Paris dengan Soon Huat-Shevon berkedudukan ke-16 dunia, manakala Kian Meng-Pei Jing, ke-24.

Penyelaras program RTG Stuart Ramalingam berkata keputusan tersebut terpaksa dilakukan kerana prestsi buruk pemain badminton tersebut.

Pada masa sama, katanya, RTG berharap tindakan berkenaan akan memotivasikan mereka untuk cemerlang pada kelayakan dan pertandingan yang mereka sertai untuk layak ke Paris.

“Penyenaraian pasukan hoki negara dibuat selepas mereka menduduki ranking kesembilan dunia, namun kini ranking mereka jatuh pada kedudukan ke-12 dan gagal untuk memenangi pingat emas Sukan Asia yang menawarkan kelayakan terus ke Paris.

“Jawatankuasa RTG bersetuju untuk menyenaraikan semula pasukan hoki negara jika prestasi mereka melepasi jangkaan dan layak ke Sukan Olimpik pada kejohanan kelayakan selepas ini, iaitu sama ada di Muscat, Oman (15-21 Jan) atau di Valencia, Sepanyol (13-21 Jan) tahun depan,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, kemasukan ke program itu kali ini hanya melibatkan atlet angkat berat Mohamad Aniq Kasdan, yang kini berada pada kedudukan ke-10 Ranking Kelayakan Olimpik.

“Aniq baru berusia 21 tahun, kami melihat beliau berpotensi besar untuk memperbaiki angkatan peribadinya pada 291 kilogram,” katanya.

Jawatankuasa itu turut memutuskan untuk tidak menyenaraikan atlet terjun lelaki Bertrand Rhodict Lises dan penembak Johnathan Wong yang telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris ke dalam RTG, namun akan membantu mereka menerusi Skim Insentif Sukan Olimpik (SISO), selain meneruskan sokongan menerusi Program Podium sedia ada.

Bertrand juga menerima elaun tambahan atas kejayaannya memenangi pingat gangsa Sukan Asia dalam acara 10 meter platform bersama Enrique Maccartney Harold dan Majlis Sukan Negara (MSN) akan merangka program khas untuk penerjun berusia 18 tahun itu.

“Pelayar Nur Shazrin Latif yang layak ke Paris selepas meraih emas acara ILCA 6 Sukan Asia juga akan menerima kenaikan elaun untuk pingat emasnya dan juga menerima insentif tambahan untuk kelayakannya ke Sukan Olimpik menerusi SISO.

“Beliau akan terus disokong sepenuhnya oleh Program Podium dengan menerima penginapan, makanan, perlindungan kos pertandingan, peralatan, pemakanan serta perkhidmatan perubatan dan sains sukan,” katanya.

Stuart berkata seorang lagi pemenang pingat emas di Hangzhou, Qabil Ambak Mahamad Fathil, dalam sukan equesterian tidak dimasukkan ke RTG kerana dia tidak berhasrat untuk bertanding pada kelayakan ke Sukan Olimpik.

Sementara itu, selepas sukan skuasy diluluskan untuk dipertandingkan buat pertama kali di Los Angeles pada 2028, Jawatankuasa RTG memberikan tanggungjawab kepada legenda dan ahli jawatankuasa itu, Nicol David, untuk menerajui pelan strategik sukan tersebut bagi memasuki program RTG pada masa hadapan.

RTG merupakan progam atlet elit yang dilancarkan pada Mac dalam usaha memenangi pingat emas Sukan Olimpik negara yang pertama di Paris dan Los Angeles.

Berikut ialah senarai terkini atlet RTG:

Aaron Chia (badminton)
Soh Wooi Yik (badminton)
Pearly Tan (badminton)
M Thinaah (badminton)
Chen Tang Jie (badminton)
Toh Ee Wei (badminton)
Ng Tze Yong (badminton)
Lee Zii Jia (badminton)
Ong Yew Sin (badminton)
Teo Ee Yi (badminton)
Azizulhasni Awang (berbasikal)
Muhammad Shah Firdaus Sahrom (berbasikal)
Pandelela Rinong (terjun)
Nur Dhabitah Sabri (terjun)
Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat)

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS