Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
KBS nilai padang dua minggu sebelum aksi kelayakan Piala Dunia, Piala Asia

PARLIMEN | Timbalan Menteri Belia Dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata pihak Perbadanan Stadium Malaysia dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menilai status padang dua minggu sebelum digunakan pasukan kebangsaan bagi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 pada 16 November depan.

Adam berkata pada masa ini pihak Perbadanan dan kontraktor sedang melakukan kerja-kerja penambahbaikan rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

"Satu sesi pemeriksaan dan penilaian teknikal padang bersama kontraktor dan wakil FAM akan diadakan selewat-lewatnya dua minggu sebelum perlawanan.

"Ini juga sebagai persediaan pasukan kebangsaan untuk persiapan Piala Asia 2027 dan Piala Asia Qatar 2023 yang akan bermula Januari 2024," katanya ketika sesi penggulungan Perbahasan Belanjawan 2024 Kementerian Belia dan Sukan di Dewan Rakyat, hari ini.

Adam berkata demikian ketika menjawab soalan dibangkitkan MP Kangar mengenai penggunaan rumput Zeon Zoysia.

Pada kejohanan Pestabola Merdeka, 13 Okt lalu, keadaan padang dan rumput SNBJ dikritik dan disifatkan 'koyak' oleh peminat bola sepak setelah keadaan padang berlumpur dan lecak serta kepingan rumput yang tertanggal ketika perlawanan.

Menjelaskan lanjut, Adam berkata pihak kontraktor yang dilantik turut berdepan pelbagai masalah seperti faktor cuaca panas yang mempengaruhi pertumbuhan rumput.

"Pelbagai masalah dihadapi kontraktor dan pihak Perbadanan antaranya faktor cuaca panas yang berpanjangan, ini menyebabkan pertumbuhan rumput tidak mengikut seperti jadual yang ditetapkan

"Reka bentuk stadium juga mempengaruhi tempoh pertumbuhan rumput, jadi, inisiatif diambil Perbadanan dengan mengguna 'Roll Light' dan 'Mobile Fan' bagi mendapat persekitaran yang sama dengan kawasan di luar stadium," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS