Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selepas mengharungi tujuh aksi persahabatan antarabangsa tanpa tewas, kekalahan Malaysia kepada Tajikistan pada final Pestabola Merdeka 2023 dilihat tepat pada masanya dan `membuka mata’ skuad kebangsaan.

Kekalahan itu juga dianggap mampu memberi pengajaran penting menjelang tugasan lebih mencabar skuad Harimau Malaya pada kempen pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 bulan depan, sebelum beraksi pada Piala Asia 2023 di Qatar, Januari tahun depan.

Bekas pengendali skuad kebangsaan Datuk Ong Kim Swee berkata kekalahan di tangan Tajikistan di laman sendiri akan memperlihatkan segala kelemahan yang perlu diperbaiki terutama apabila Malaysia bakal berdepan lawan yang hampir serupa pada pusingan kelayakan Piala Dunia/ Piala Asia nanti.

“Bagi saya (kekalahan itu) positif berlaku sebelum kita bermain dengan Kyrgyzstan (aksi sulung Kumpulan D pusingan kelayakan) bulan depan.

“Tajikistan dan Kyrgyzstan tak banyak beza, mempunyai corak permainan yang lebih kurang sama dan mempunyai mentaliti yang sama.

“Apabila tewas dengan Tajikistan, perlu pastikan kita tak boleh ambil mudah dengan Kyrgyzstan di mana kalau kita tetap leka mungkin kita akan dihukum sama seperti sebelum ini,” kata Ketua Jurulatih Sabah FC itu ketika dihubungi Bernama hari ini.

Kim Swee berkata Malaysia dan Tajikistan menunjukkan keazaman dan keinginan yang sama untuk mencapai kemenangan pada final itu, namun dari segi taktikal Tajikistan lebih matang dan pasukan itu tahu bila harus menyerang dan bertahan.

“Bagi saya tiada banyak kelemahan yang saya dapati kecuali dari segi serangan yang tumpul dan beberapa kesilapan yang sentiasa berlaku menyebabkan kita dibolosi,” katanya yang turut menyifatkan Tajikistan mempunyai kelebihan apabila hanya bermain pada final selepas Palestin menarik diri.

Senada dengan Kim Swee adalah bekas pemain kebangsaan Rezal Zambery Yahya yang menganggap kekalahan itu dapat memberi kesedaran, selain peluang untuk memperbaiki kelemahan termasuk kecenderungan melakukan kesilapan mudah dalam perlawanan berintensiti tinggi.

Bekas pengendali Kelantan FC itu berkata pasukan negara akan berdepan pasukan handalan yang mempunyai persediaan rapi dan dibarisi pemain terbaik pada Piala Asia nanti.

“Jadi kita tak boleh buat kesilapan mudah yang akhirnya menghukum pasukan, skuad kita sudah tampil dengan prestasi yang lebih bagus tetapi kesilapan mudah perlu diberi perhatian, supaya kita tak kecewa macam kelmarin,” katanya.

Rezal Zambery berkata kelekaan bahagian pertahanan telah menghukum keseluruhan pasukan biarpun skuad kendalian Kim Pan Gon itu tampil lebih dominan berbanding Tajikistan, terutama pada separuh masa kedua.

Pada final di Stadium Nasional di Bukit Jalil itu, menyaksikan kemenangan 2-0 Tajikistan untuk merangkul kejuaraan sulung Pestabola Merdeka dan menafikan peluang Malaysia daripada meraih gelaran ke-13.

Kekalahan itu juga menamatkan rekod tanpa kalah Malaysia, yang melakar lima kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir sejak tewas kepada Thailand 0-3 pada separuh akhir kedua Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022, Januari lepas.

Kelemahan ketara pasukan negara pada final itu ialah di benteng pertahanan, terutama di bahagian tengah selain ketumpulan jentera serangan di depan gawang, sekali gus menjadi pemisah kedua-dua pasukan pada pertembungan itu.

Kesilapan sewaktu bertahan membolehkan Tajikistan yang dibimbing Petar Segrt mencipta dua jaringan dari arah sama, sementara jentera serangan negara bukan sahaja gagal menyempurnakan peluang terhidang, malah buntu dalam meleraikan kekebalan pertahanan lawan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS