Kes saman fitnah difailkan Datuk Mark William Ling Lee Meng terhadap bekas jaguh lompat kijang dan lompat jauh Mohd Zaki Sadri, selesai selepas bekas atlet itu memohon maaf kepada Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) itu, di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, hari ini.
Mohd Zaki, 56, ketika membacakan pernyataan maaf itu di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan berkata beliau dengan ikhlas hati, memohon maaf secara terbuka dan tanpa syarat kepada Mark William, kerana telah membuat satu kenyataan yang telah disiarkan dalam portal Harian Metro Online, pada 21 Jun lalu.
“Saya ingin tanpa syarat menarik balik semua dakwaan yang dibuat dalam kenyataan akhbar tersebut, dengan tulus ikhlas dan sedalam-dalamnya memohon maaf kepada Datuk Mark William atas keaiban dan kesulitan yang dialaminya.
“Saya selanjutnya merakamkan kekesalan saya yang setulus-tulusnya dan sedalamnya di atas rasa malu dan kesulitan yang ditimbulkan oleh penerbitan kata-kata yang diadukan tersebut dan dengan tidak berbelah bahagi dan tidak bersyarat memohon maaf kerana menyebabkan kenyataan akhbar itu diterbitkan,” katanya.
Mohd Zaki turut beraku janji tidak akan mengulangi kenyataan yang bersifat tuduhan dan memberikan kesan serupa terhadap Mark William, pada masa hadapan.
Sebelum merekodkan penghakiman persetujuan, Zulqarnain mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pihak kerana telah menyelesaikan kes secara baik.
“Mahkamah juga ingin merakamkan tahniah kepada kedua-dua pihak terutamanya defendan (Mohd Zaki), kerana mempamerkan kematangan dalam memilih untuk berdamai daripada ‘berperang’.
“Pilihan yang dibuat berpandangan jauh dan bijak’ kerana tidak menghabiskan masa, tenaga dan wang kepada perkara-perkara ini (saman). Atas permohonan semua pihak, mahkamah merekodkan penghakiman persetujuan ini,” katanya.
Turut hadir prosiding hari ini peguam Sunther Thulasi dan Ahmad Amir Mahmood mewakili Mark William, manakala peguam Rossa Severinus mewakili Mohd Zaki.
Mark William, 60, selaku plaintif memfailkan saman itu terhadap Mohd Zaki pada 30 Jun lalu mendakwa bekas Ketua Jurulatih KOM itu, mengeluarkan perkataan yang memfitnah beliau dalam satu kenyataan akhbar yang kemudian diterbitkan dalam portal Harian Metro Online, pada 21 Jun lalu.
Menurut pernyataan tuntutan, Mark William mendakwa kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau bukanlah seorang yang layak dan sesuai menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan KOM.
Plaintif mendakwa kenyataan fitnah itu turut memberi gambaran bahawa beliau telah mematahkan peluang atlet Malaysia untuk menang di kejohanan antarabangsa seperti Sukan Asia di Hangzhou, China dengan tidak mengikuti rancangan yang dicadangkan defendan, selain tidak bertindak demi kepentingan atlet Malaysia.
- Bernama