Paling Popular
Terkini

Malaysia mencapai sasaran 27 pingat di Sukan Asia Hangzhou 2022 menerusi sukan karate selepas atlet muda, Lovelly Anne Robberth mencipta kejutan menghadiahkan perak dalam acara kata individu wanita, hari ini.

Pada aksi penentuan pingat emas di Gimnasium Pusat Sukan Linping, di Hangzhou, atlet berusia 19 tahun berasal dari Penampang, Sabah,yang membuat penampilan sulung di Sukan Asia terpaksa berpuas hati meraih perak selepas mengumpul 39.80 mata.

Emas dimenangi jagoan Jepun, Kiyou Shimizu dengan catatan 42.60 mata sekali gus menyaksikan atlet berusia 29 tahun itu memenangi emas buat kali ketiga berturut-turut sejak edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Shimizu juga merupakan pemenang perak dalam acara sama di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Dalam pada itu, gangsa menjadi milik bersama Sakura Alforte dari Filipina dan Grace Lau dari Hong Kong.

Sementara itu, pencapaian dilakar Lovelly Anne membolehkan beliau menyamai pencapaian perak yang dimenangi Lim Lee Lee pada edisi 2002 di Busan, Korea Selatan.

Selain itu, kilauan disumbangkan beliau menamatkan penantian 13 tahun kem karate negara untuk menaiki podium dalam acara itu sejak kali terakhir dilakukan Lee Lee yang merangkul gangsa pada edisi 2010 di Guangzhou, China.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS