Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Pearly Tan catat rekod dunia pukulan 'smash' paling laju

Pemain beregu utama wanita negara Pearly Tan kini memegang Rekod Dunia Guinnesss dengan pukulan “smash” paling laju.

Tan mengukir namanya di dalam buku rekod dunia itu untuk Kategori Pukulan Badminton Terpantas (Wanita) dengan kelajuan 438 kilometer sejam (km/j), kata Persekutuan Badminton Dunia (WBF) dalam halaman media sosialnya hari ini.

Rekod itu dicapai di sebuah gimnasium kilang Yonex Co. Ltd. di Saitama, Jepun pada 14 April lepas dan disahkan oleh hakim-hakim Rekod Dunia Guinness.

Pukulan “smash” pemain berusia 23 tahun dari Kedah itu lebih laju daripada rekod kelajuan kereta Formula Satu (F1) iaitu pada 372.6 km/j

Pearly yang bergandingan dengan M Thinaah kini berada di ranking ke-11 dunia.

Baru semalam, kedua-dua mereka diumumkan sebagai Pasukan Wanita Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara 2022 selepas memenangi pingat emas Sukan Komanwel Birmingham dan Terbuka Perancis dalam tahun yang sama.

Sementara itu, pemain badminton India Satwiksairaj Rankireddy memecahkan rekod pemain kebangsaan Tan Boon Heong dengan kelebihan 72 km/j dalam kategori lelaki, dengan pukulan “smash” menakjubkan pada kelajuan 565 km/j.

Rekod sebelum ini yang dicipta Boon Heong dengan kelajuan 493 km/j pada Mei 2013 di kilang Yonex yang sama.

Yonex dalam laman sesawangnya berkata saat-saat impak pukulan “smash” sebenar direkodkan menggunakan sebuah kamera berkelajuan tinggi.

“Halaju segera bulu tangkis selepas impak kemudian dikira daripada rakaman foto,” katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS