Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Hujan tak berhenti: Pendaki M'sia kongsi detik pahit kandas di Gunung India

Sekumpulan 10 pendaki dari Malaysia yang terkandas di lereng gunung di negeri Himachal Pradesh di India akibat hujan tanpa henti menyifatkan pengalaman pahit mereka sebagai "pengembaraan gila".

Mereka yang tiba di India pada 30 Jun untuk merasai pengalaman pendakian selama 12 hari, terpaksa melalui deti-detik menakutkan apabila cuaca berubah secara mendadak di akhir jadual perjalanan.

"Dalam tiga hari pertama, cuaca adalah baik. Ketika kami berkhemah di Hampta Pass, hujan tidak berhenti selama tiga hari dan kami tidak dapat menyeberangi sungai kerana arus deras," kata Siew Wey Tyng, yang mengetuai kumpulan itu kepada Bernama.

Kumpulan pendaki itu berlepas ke Kuala Lumpur pada petang Jumaat.

Hujan lebat melanda Himachal Pradesh.

Trek Hampta Pass merupakan satu daripada pengembaraan popular untuk pendaki tempatan dan asing.

Siew, 54, berkata kumpulannya terdiri daripada 10 rakyat Malaysia, seorang rakan dari Britain dan seorang lagi warga China yang berkahwin dengan warga Malaysia.

Anggota termuda kumpulan itu berumur 38 tahun dan yang paling tua berusia 65 tahun.

Hujan tanpa henti telah memusnahkan tapak perkhemahan dan menjadikan lintasan sungai berbahaya, kata Siew.

Mereka terputus hubungan dengan keluarga mereka pada 11 Julai ketika cuba keluar dari lereng gunung.

"Kami tidak tahu macam mana nak menyeberangi sungai kerana arus sangat deras. Pengembaraan kami bertukar menjadi pengalaman yang pahit.

"Kami bimbang kerana tidak dapat menghubungi ahli keluarga kami. Pada ketika ini, keluarga kami menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia," katannya.

Pengendali trek tempatan bekerja keras untuk memastikan kumpulan Malaysia dapat keluar dengan selamat.

Walaupun rangkaian mudah alih tidak tersedia, pemandu arah tempatan berjaya mendapatkan bantuan menggunakan walkie-talkie.

"Terdapat 20 pemandu arah yang bekerjasama. Mereka akhirnya dapat menyediakan ‘zip line’ (kabel) untuk kami menyeberangi air," kata Siew.

Kumpulan Malaysia akhirnya tiba di bandar Manali pada Rabu.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi telah menghubungi pihak berkuasa India untuk mendapatkan bantuan dan dapat mengesan mereka di hotel.

Dari Manali, para pejalan kaki berdepan perjalanan yang memenatkan lebih daripada 500 kilometer, mengambil masa 21 jam untuk sampai ke New Delhi melalui Chandigarh.

Mereka mempunyai pemandu dan kereta yang berbeza untuk pusingan kedua perjalanan mereka dari Chandigarh.

Hujan monsun lebat di utara India sejak kebelakangan ini telah menyebabkan air sungai melimpah, tanah runtuh dan banjir.

"Perjalanan itu mencabar. Di satu tempat jalan utama telah runtuh dan kami melakukan lencongan dan melalui jalan yang berbukit dan sempit. Suruhanjaya Tinggi Malaysia sentiasa berhubung dengan kami," kata Siew.

Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Amizal Fadzli Rajali dan setiausaha kedua Jefri Harun menyambut kumpulan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di New Delhi pada sebelah pagi.

Sementara itu, kumpulan pendaki itu tidak terpengaruh dengan pengalaman pahit mereka dan menyatakan hasrat untuk kembali ke India untuk merasai lebih banyak pengembaraan.

"Hampta Pass adalah tempat yang indah. Malangnya kami berada di tempat yang salah pada masa yang salah. Ini tidak menghalang kami dan kami merancang untuk meneroka lebih banyak tempat di India," kata Siew.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS