Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Prabudass perbaharui rekod separuh maraton negara di Gold Coast
Diterbitkan:  Jul 2, 2023 11:59 AM
Dikemaskini: 4:42 AM

Pelari jarak jauh negara, K. Prabudass memperbaharui rekod separuh maraton kebangsaan miliknya selepas kembali semula ke acara Gold Coast Marathon di Queensland, Australia, semalam.

Atlet kelahiran Negeri Sembilan berusia 33 tahun itu mencatat masa satu jam enam minit dan 53 saat (1:06.53s) pada perlumbaan sejauh 21.0975 kilometer (km) untuk menduduki tempat ke-17.

Lans Koperal Tentera Laut Diraja Malaysia (TUDM) itu memperbaharui rekod kebangsaan 1:7:00s miliknya pada Hokkaido Sapporo Marathon Festival, Jepun, pada Mei 2021.

Sebelum itu, Prabudass memadamkan rekod kebangsaan selama 17 tahun dengan catatan 1:07.59s yang dipegang bekas pelari kebangsaan, M. Arul Thevar pada 4 Julai, 2004.

Beliau merekodkan catatan 1:07.29s pada Gold Coast Marathon pada 2019.

“Ia merupakan satu kepulangan yang hebat ke Gold Coast selepas empat tahun untuk melakukan ini semula. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang atas sokongan berterusan yang membawa kepada pencapaian ini," katanya dalam laman Facebooknya.

Menurut laman web rasmi perlumbaan, www.goldcoastmarathon.com.au, pelari pilihan tuan rumah, Brett Robinson berjaya mempertahankan kejuaraan dengan catatan masa 1:02.16s diikuti pelari Jepun, Keijiro Mogi (1:02.20s)dan Cameron Avery dari New Zealand dengan masa 1:02.50s.

Sementara itu, acara wanita menyaksikan wakili Amerika Syarikat, Keira D’Amato mengatasi rekod kejohanan berusia 13 tahun dan juga rekod kebangsaan Amerika Syarikat dengan catatan 1:06.39s.

Rekod sebelum ini dcipta oleh pelari Australia, Lisa Weightman dengan masa 1:09.00s.

Pelari Australia, Leanne Pompeani dan Ellie Pashley masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga dengan catatan 1:09.07s dan 1:09.25s.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS