Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kuala Lumpur (KL) City FC mara ke pentas final Piala FA 2023 selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedudukan terikat tanpa jaringan pada perlawanan separuh akhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di Kuala Nerus, Terengganu malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Bojan Hodak bakal berdepan juara bertahan Piala FA musim lepas, Johor Darul Ta'zim (JDT) atau Selangor FC yang beraksi dalam satu lagi aksi separuh akhir di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di Iskandar Puteri, malam esok.

Skuad Penyu yang dikendalikan Habib Haroon bermula garang apabila melancarkan serangan seawal minit pertama, namun rembatan Ivan Mamut berjaya digagalkan penjaga gol, Muhammad Azim Al Amin Kamaruddin.

KL City yang hadir selaku pasukan pelawat bangkit membalas serangan, malangnya percubaan Sebastian Avanzini pada minit kesembilan tersasar di sebelah kanan gawang.

Pada minit ke-11, Terengganu memperoleh peluang keemasan untuk mencetak gol pertama, sayangnya rembatan jarak jauh Habib sedikit tersasar di sebelah kanan gawang.

Terengganu yang menguasai permainan berjaya menghasilkan peluang pada minit ke-27 dan ke-35, namun kedua-dua percubaan gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

Pada masa kecederaan babak pertama, Mamut sekali lagi hampir meletakkan skuad Penyu di depan, namun rembatan padunya berjaya ditampan Muhammad Azim Al-Amin.

Bersambung babak kedua, masih tiada jaringan dihasilkan oleh kedua-dua pasukan sehingga memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.

Pada masa tambahan selama 30 minit, kedua-dua pasukan yang melancarkan serangan bertali arus masih gagal meledak sebarang gol sehingga membawa ke penentuan sepakan penalti yang memihak kepada skuad The City Boys.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS