Selepas mengharumkan nama negara dengan menjuarai pelbagai kejohanan renang sebelum ini, Nurul Huda Abdullah yang meninggalkan kolam renang pada usia 18 tahun, kini kembali untuk mewarnai persada sukan renang negara.
Bagaimanapun bekas ratu renang negara itu kembali untuk memainkan peranan yang berbeza, kerana beliau kini adalah penolong setiausaha Persekutuan Renang Malaysia (MS).
Beliau merupakan salah seorang daripada ‘muka baharu’ yang terpilih dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-54 MS bagi penggal 2023/2025 baru-baru ini. Dua lagi adalah ketua jurulatih renang Selangor Marilyn Chua yang dipilih sebagai naib presiden, dan calon dari Negeri Sembilan Andy Low sebagai setiausaha agung yang baru.
Walaupun pernah meraih pelbagai kejayaan dalam acara renang, Nurul Huda ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini berkata beliau akur bahawa tanggungjawab yang dipikulnya kini bukanlah sesuatu yang mudah.
Pemenang pingat emas 22 kali di Sukan SEA itu berkata ini kerana hakikatnya adalah prestasi acara renang telah merosot sejak beliau mengundurkan diri daripada sukan itu kira-kira tiga dekad yang lepas.
Sehubungan itu perenang Malaysia pertama yang memenangi pingat dalam acara renang di Sukan Asia pada edisi 1986 di Seoul, Korea Selatan itu, meminta supaya seluruh rakyat Malaysia bersabar, sementara menanti beberapa muka baharu MS membantu untuk mengembalikan kegemilangan negara dalam acara renang sebagaimana tahun 80an dan 90an.
"Biar kita kaji perenang yang berpotensi terlebih dahulu. Saya tidak boleh beri sebarang janji kerana sebarang kejayaan dalam sukan ini tidak mungkin berlaku dalam sekelip mata, ia mengambil masa,” katanya.
"Kita tahu bahawa sukan renang agak ketinggalan di belakang, dan kami (MS) mahu memainkan peranan kami… kami tahu bahawa ia satu cabaran besar untuk bergerak ke hadapan, tetapi kami semua sangat komited untuk menyumbang kepada prestasi perenang Malaysia," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat pemilihan atlet dan pegawai ke Sukan Asia 2022, di Kuala Lumpur.
Katanya mereka perlu belajar menerusi cara bagaimana negara lain melakukannya dengan baik, di samping meletakkan sasaran pada acara tertentu yang perlu diberi tumpuan pada masa hadapan.
Mengenai pemilihan atlet ke Sukan Asia 2022, Nurul Huda berkata perenang wanita negara, Phee Jinq En akan diletakkan di bawah Kategori A (dibiayai sepenuhnya) manakala enam lagi perenang lelaki termasuk juara 200 meter (m) gaya bebas lelaki Sukan SEA 2023, Khiew Hoe Yean akan disenaraikan di bawah Kategori B (kos ditanggung oleh persatuan dan dibayar balik jika mereka memenangi pingat).
Sementara itu, Andy berkata tiga penerjun lelaki - Ooi Tze Liang, Muhammad Syafiq Puteh dan Gabriel Gilbert Daim - manakala penerjun wanita diketuai ratu terjun, Datuk Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee akan berada di bawah Kategori A untuk Sukan Asia di Hangzhou, China.
Andy berkata Sukan Asia Hangzhou juga akan menyaksikan empat lagi penerjun lelaki termasuk 10m platform lelaki Sukan SEA 2023 Enrique Maccartney Harold, diletakkan di bawah Kategori B.
- Bernama