Selangor FC berjaya bangkit daripada kekalahan mengejut 0-1 kepada PDRM FC pada Sabtu lepas, dengan mengaibkan Kelantan United FC (KUFC) 7-1 pada aksi Liga Super malam ini.
Penyerang import dari Colombia, Ayron del Valle muncul wira skuad Gergasi Merah pada aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, selepas berjaya melengkapkan hatrik untuk memberikan kekalahan terbesar bagi Kelantan United, yang sebelum ini pernah dimalukan 6-0 oleh juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Skuad kendalian Tan Cheng Hoe bermula garang apabila membuka jaringan seawal minit keempat menerusi Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi yang menolak masuk hantaran silang rakan sepasukannya.
Enam minit kemudian, Ayron, 35, melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti untuk menggandakan jaringan, sebelum membantu Faisal Halim menambah kelebihan jaringan pada minit ke-29.
Sedikit kelekaan penjaga gol Ihlam Amirullah dan benteng pertahanan KUFC, berjaya dimanfaatkan oleh Ayron yang melepaskan rembatan dari jarak 20 meter untuk gol keempat Selangor pada minit ke-45.
Selangor terus menambah derita buat pasukan tuan rumah, apabila pemain import Yohandry Orozco meledak gol menerusi rembatan padu kaki kiri dari luar kotak penalti pada minit ke-51, sebelum Ayron melengkapkan hatrik dengan satu lagi rembatan pada minit ke-80.
Gol sagu hati KUFC pada aksi yang berlangsung dalam hujan dengan kehadiran lebih 1,200 penonton, dijaringkan oleh Devid Silva menerusi penalti pada minit ke-78.
Sementara itu, Kedah Darul Aman (KDA) berjaya melonjak ke kedudukan ketiga, selepas menewaskan Perak FC 3-0 pada aksi ‘Derbi Utara’ di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Skuad Kenari terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain import dari Tajikistan, Amirbek Juraboev pada minit ke-25, sebelum beliau melebarkan jurang menerusi tandukan cantik daripada hantaran lintang kapten pasukan, Lee Andrew Tuck pada minit ke-53.
Penyerang import dari Brazil, William Lira Sousa kemudian menutup akaun jaringan selepas menewaskan penjaga gol Perak, T. Shaheeswaran menerusi tandukan pada minit ke-66.
Keputusan malam ini menyaksikan Selangor yang berada di tempat kedua, berjaya merapatkan jurang kepada lapan mata di belakang JDT (39 mata) dengan mengutip 31 mata selepas 14 aksi, manakala KDA (28 mata) melonjak ke kedudukan ketiga mengatasi Sri Pahang FC (25 mata).
Perak pula kekal di kedudukan ke-11 dengan sembilan mata, manakala KUFC berada di kedudukan kedua tercorot (13) dengan enam mata.
- Bernama