Jurulatih beregu wanita negara, Hoon Thien How kagum dengan kekentalan dipamerkan Pearly Tan-M Thinaah selepas gandingan itu mengharungi empat perlawanan lebih dari sejam, merangkumi aksi 5 jam 54 minit pada Masters Malaysia 2023 yang berakhir semalam.
Hoon berkata semangat juang yang tinggi tetap diperagakan pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu meskipun Pearly baru sahaja pulih daripada jangkitan virus influenza April lepas.
“Sebelum ini dalam kejohanan tak pernah tengok mereka main sampai satu jam 51 minit, latihan lain, pertandingan agak terkejut sebab Pearly pun baru pulih dari flu, tapi boleh bertahan sampai macam ini memang bagus.
“Sebelum ini mereka terpaksa tarik diri daripada Kejohanan Badminton Asia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, mereka berlatih hanya lima hari sebelum menyertai Piala Sudirman dan terus Masters Malaysia, prestasi bagus,” katanya kepada pemberita selepas aksi final Masters Malaysia 2023 di Axiata Arena di Kuala Lumpur, semalam.
Di Masters Malaysia, Pearly-Thinaah mencipta sensasi apabila menempuh rali panjang sebanyak 211 pukulan dalam perlawanan yang berlangsung selama satu jam 51 minit sebelum mengetepikan Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto dari Jepun 21-18, 8-21, 21-19 untuk mengesahkan tiket ke suku akhir.
Pemenang pingat emas Terbuka Perancis 2022 itu kemudian melangkah ke final selepas membenam lawan dari Korea Selatan, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong 21-19, 23-21 dalam masa satu jam 33 minit.
Di pusingan akhir semalam, gandingan itu terlepas peluang untuk merangkul kejuaraan pertama di laman sendiri selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee 20-22, 21-8, 17-21 pada perlawanan yang berlangsung selama satu jam 41 minit.
Sementara itu, Thien How berkata dalam memastikan Pearly-Thinaah dapat memantapkan lagi ketajaman serangan mereka, pasangan itu akan membuat sparing bersama beregu lelaki negara sebagai persediaan ke Terbuka Singapura 2023 bulan depan.
“Untuk kecergasan, seminggu ini kita akan kekalkan sahaja, tak boleh paksa, sebab tinggal empat hari sahaja untuk berlatih lepas tu mereka mesti penat jadi kita kekalkan tahap kecergasan,” katanya.
-Bernama