Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Hannah pertahan ketidakstabilan politik punca kemerosotan sukan
Diterbitkan:  May 25, 2023 1:16 PM
Dikemaskini: 5:50 AM

PARLIMEN l Ketidakstabilan politik negara dalam tempoh empat tahun telah menyebabkan 220 atlet negara tidak dapat meneruskan latihan berikutan tiada peruntukan khusus diberikan untuk pelaksanaan program latihan senior di bawah Program Podium 2022.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata dalam tempoh berkenaan, berlaku tiga kali pertukaran Perdana Menteri dan Menteri Belia dan Sukan yang turut melibatkan pertukaran ahli lembaga pengarah, bajet serta fokus.

Mengambil contoh butiran Bajet 2022 yang dibentangkan pada Oktober 2021, beliau menjelaskan tidak ada dinyatakan peruntukan yang diberikan bagi Program Podium 2022.

“Ini telah menyebabkan Majlis Sukan Negara (MSN) terpaksa menyusun semula program persediaan atlet ke arah temasya sukan utama bagi 2022 antaranya Sukan SEA Vietnam, Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Asia (di Hangzhou, China).

“Pada masa sama, MSN juga terpaksa mengagih dan menggunakan peruntukan dalaman bagi memastikan elaun latihan atlet serta gaji jurulatih diteruskan tanpa penangguhan agar tidak menjejaskan prestasi atlet yang sedang dalam latihan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta Hannah menjelaskan kenyataannya pada sidang media minggu lepas mengenai ketidakstabilan politik menjadi antara punca pretasi buruk pasukan negara dalam Sukan SEA 2023 di Kemboja baru-baru ini.

Hannah menjelaskan keadaan dihadapi MSN itu berlarutan bagi tempoh dua bulan iaitu Januari hingga Februari 2022.

“KBS mengambil inisiatif memohon kepada Kabinet untuk mendapatkan peruntukan bagi progam podium dan telah dipersetujui di bawah RMK12 (Rancangan Malaysia Ke-12) sebanyak RM240 juta dari 2022 hingga 2025 iaitu RM60 juta setahun.

“Setiap kali ada perubahan seperti ini, apabila elaun dan gaji jurulatih tertangguh kerana tiada bajet, ia memberi kesan kepada latihan mereka. Ini kerana ada atlet yang perlu ke luar negara dan saya ada bincang dengan atlet dan persatuan, mereka setuju bahawa dalam tempoh empat tahun kita sibuk berpolitik, negara jiran kita telah jauh ke hadapan,” katanya.

Sebagai langkah ke hadapan, beliau berkata kementerian akan memfokuskan kepada sukan yang berpotensi menawarkan lebih banyak pingat kepada negara.

Justeru, menurut Hannah Persatuan Sukan Kebangsaan diwajibkan untuk mengemukakan pelan jangka masa pendek dan panjang bagi memastikan Malaysia dapat bersaing dengan Singapura, Thailand dan Vietnam di Sukan SEA, seterusnya Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

“Antara penekanan yang akan diberikan adalah acara sukan yang menawarkan banyak pingat seperti renang dan olahraga, mesti membawa perubahan. Penekanan ini diberikan kerana mereka mempunyai banyak acara untuk dapatkan pingat.

“Kita juga akan fokus pada sukan mempertahankan diri dan terjun kerana kedua-duanya telah membawa pulang pingat emas dan menghasilkan atlet cemerlang,” katanya.

Selain itu, beliau berkata atlet negara seperti Shereen Samson Vallabouy dan Umar Osman yang masing-masing menghadiahkan pingat emas acara 400 meter di Sukan SEA Kemboja akan diberikan bantuan kewangan selain atlet lain bagi memastikan mereka bersedia menghadapi Sukan Asia Hangzhou di China, September ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS