Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Sukan SEA: Skuad silat negara sumbang 3 pingat emas

Kem pencak silat menceriakan kontinjen negara apabila menyumbangkan tiga pingat emas pada Sukan SEA 2023 di Pusat Konvensyen Chroy Changvar di Phnom Penh, hari ini.

Turun ke gelanggang sebagai pesilat pertama Malaysia dalam aksi final pagi tadi, Norsyakirah Muksin (gambar utama) tidak mengecewakan apabila menghadiahkan emas sulung dalam kategori bawah 45 kilogram (kg) Putri selepas menumpaskan wakil Indonesia, Suci Wulandari 36-33.

Skuad silat kebangsaan meraih emas kedua menerusi Nor Farah Mazlan setelah lawannya dari Singapura Nadhrah Sahrin dibatalkan penyertaan selepas melanggar peraturan pertandingan ketika pesilat negara kelahiran Sabah itu sedang mendahului 23-16 dalam kategori 45-50kg Putri.

Muhammad Izzul Irfan Marzuki pula berjaya meraih pingat emas ketiga Malaysia setelah menumpaskan wakil dari Indonesia, Kadek Andrey Nova Prayada 39-33 dalam kategori 60-65kg Putra.

Muhammad Izzul Irfan

Dalam pada itu, tiga pesilat Malaysia terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tumpas kepada lawan masing-masing dalam pertarungan peringkat akhir itu.

Mohd Shahrul Zeckry Sulaiman terpaksa akur dengan kehebatan pesilat Indonesia Iqbal Candra Pratama apabila tumpas 9-53 bagi kategori 70-75kg Putra.

Sementara, Siti Shazwana Ajak tumpas kepada Atifa Fismawati dari Indonesia 35-38 dalam kategori 60-65kg Putri.

Muhammad Robial Sobri yang turun ke gelanggang dalam acara terakhir pencak silat yang melabuhkan tirai hari ini, gagal menghadiahkan pingat emas kepada Malaysia apabila tumpas di pertarungan final.

Nor Farah Mazlan

Pesilat senior negara itu tewas 11-42 kepada wakil Singapura Sheik Farhan Sheik Alau’ddin bagi kategori 85-90kg Putra.

Ketika ditemui pemberita, jurulatih skuad silat kebangsaan Siti Rahmah Mohamed Nasir berkata dia berpuas hati dengan prestasi pesilat negara termasuk mereka yang kali pertama menyertai temasya dwitahunan itu.

“Kesemua mereka sama ada yang baru atau senior memberikan sepenuh komitmen. Mereka memberikan lebih 100 peratus dan saya bangga dengan usaha keras mereka,” katanya bahawa beberapa aspek akan diteliti sekembalinya ke tanah air dalam usaha memantapkan prestasi pesilat negara.

Bekas jaguh silat negara itu percaya majoriti barisan pesilat baru yang diketengahkan pada temasya kali ini berpotensi meraih kejayaan di persada antarabangsa pada kejohanan akan datang.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS