Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Sukan SEA: Kimberly terkejut raih emas selepas fokus terjejas akibat silau
Diterbitkan:  May 8, 2023 4:33 PM
Dikemaskini: 8:34 AM

Di sebalik kegembiraan, penerjun muda negara Kimberly Bong terkejut mampu meraih pingat emas acara 3 meter (m) papan anjal wanita Sukan SEA 2023 selepas mendominasi aksi final yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional Morodok Techo di Phnom Penh, hari ini.

Penerjun berusia 20 tahun itu berkata ini kerana darjah kesukarannya pada saingan itu rendah berbanding pencabar negara lain, selain gagal mempamerkan prestasi terbaik susulan faktor silau yang menjejaskan tumpuannya.

Susulan dua faktor itu, beliau tidak berjaya untuk sekurang-kurangnya menyamai rekod peribadi terbaik 280 mata selepas mengumpul 276.30 daripada keseluruhan lima terjunan.

Bagaimanapun, atlet kelahiran Sarawak itu tetap gembira dengan keputusan berkenaan yang membolehkan beliau meraih emas pertamanya pada temasya sukan dwitahunan itu sejak membuat kemunculan pertama pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

“Saya gembira tetapi macam tidak percaya kerana darjah kesukaran saya agak rendah berbanding atlet lain dan (keadaan) venue sedikit silau dengan permukaan air juga agak silau jadi ada beberapa terjunan yang saya tak yakin kerana silau,” katanya ketika ditemui media tempatan di sini.

Mengulas lanjut, Kimberly berkata masih terdapat banyak aspek yang perlu diperbaiki terutama dalam menghadapi Kejohanan Dunia di Fukuoka, Jepun pada Julai nanti.

Selain itu, beliau berazam untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Pada aksi final hari ini, pingat perak menjadi milik atlet Indonesia Gladies Lariesa Garina Haga yang mengumpul 273.10 mata manakala seorang lagi wakil negara Ong Ker Ying terpaksa berpuas hati membawa pulang gangsa dengan pungutan mata 248.70.

Sebagai rekod, edisi 2023 merupakan penampilan ketiga Kimberly di pentas Sukan SEA selepas edisi 2017 dan 2021 di Hanoi, Vietnam tahun lepas yang berjaya membawa pulang perak dalam acara 1m papan anjal.

Kejayaan beliau merangkul emas di sini menyaksikan penguasaan Malaysia dalam acara 3m papan anjal wanita berterusan sejak Cheong Jun Hoong memenangi emas pada edisi 2011 di Palembang, Indonesia.

Saingan terjun Sukan SEA 2023 akan bersambung esok dengan giliran penerjun lelaki turun beraksi dalam saingan 3m papan anjal.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS