Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Arif Aiman tidak jalani latihan bersama Harimau Malaya
Diterbitkan:  Mar 26, 2023 5:53 PM
Dikemaskini: 9:53 AM

Keberadaan dan status pemain sayap Arif Aiman Mohd Hanapi menjadi misteri selepas dia tidak bersama pasukan negara yang menjalani latihan di Pusat Latihan Johor Darul Ta’zim (JDT), Padang Mawar di Pasir Gudang, Johor, malam tadi.

Berdasarkan pemerhatian Bernama, ketiadaan Arif Aiman menyaksikan hanya 26 pemain kembali menyertai sesi latihan pasukan selama hampir dua jam yang bermula 10 malam.

Sesi latihan bermula lewat bagi menghormati bulan Ramadan itu sebahagian daripada persiapan skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon menjelang aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 kedua bertemu Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Selasa depan.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sehingga kini tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung “misteri” ketiadaan Arif Aiman dalam sesi latihan malam tadi.

Kebiasaannya, faktor kecederaan dengan pengesahan doktor pasukan antara alasan yang membenarkan seseorang pemain itu diketepikan daripada tugasan bersama skuad kebangsaan pada jendela perlawanan antarabangsa FIFA.

Sebelum ini, Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 dan 2022 itu tidak berada dalam skuad bimbingan Pan Gon ketika Malaysia menewaskan Turkmenistan 1-0 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, Khamis lepas.

Rabu lepas, Pan Gon pada sidang media praperlawanan menentang Turkmenistan mengesahkan kesemua 27 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya di sini berada pada tahap kecergasan terbaik dan sedia diturunkan.

Kali terakhir Arif Aiman menyarung jersi pasukan negara ialah ketika kempen Piala Raja Thailand September tahun lepas, yang menyaksikan Malaysia muncul naib juara selepas tewas semasa final kepada Tajikistan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS