Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Sah JDT sedang usahakan ambil Radamel Falcao 
Diterbitkan:  Mar 2, 2023 4:00 PM
Dikemaskini: 8:00 AM

Kemasukan penyerang Colombia Radamel Falcao akan menguatkan lagi pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), kata Ketua Jurulatih Estaban Solari.

Susulan khabar angin yang mengaitkan pemain Piala Dunia 2018 itu dengan skuad Harimau Selatan, Solari mengesahkan bahawa pemilik kelab itu Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibrahim sedang mengusahakan pengambilan Falcao.

“Kami sedang menunggu, saya tidak boleh beritahu apa-apa lagi, bos kami akan putuskan hal ini,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, malam tadi.

Menurut laporan surat khabar Sepanyol, Marca, Falcao, yang masih mempunyai kontrak dengan pasukan Rayo Vallecano hingga Jun ini, sedang mempertimbangkan untuk menandatangani kontrak dengan JDT.

Laporan itu turut menyatakan JDT berkemungkinan mengikat Falcao untuk dua musim sebelum menjadikan penyerang berusia 37 tahun itu duta bagi kelab tersebut serta negeri Johor, selepas persaraannya.

Jika perjanjian itu berhasil, Falcao akan membuat penampilan di Liga Super selepas jendela perpindahan pemain kedua dari 5 Julai hingga 1 Ogos.

Pasukan Valencia yang dimiliki ahli perniagaan Singapura Peter Lim juga dilaporkan berminat untuk mengambil Falcao, yang pernah mewakili Manchester United pada musim 2014-2015. Beliau ketika itu dipinjamkan oleh AS Monaco.

JDT berkemungkinan menjadi kelab ke-10 Falcao selepas beliau mencipta nama dengan kelab-kelab terkemuka dunia termasuk River Plate, FC Porto, Atletico Madrid, Chelsea dan Galatasaray.

Selain itu, beliau juga memenangi dua kejohanan Liga Eropah dengan Porto pada musim 2010-2011 dan Atletico Madrid (2011-2012), selain membantu Atletico Madrid merangkul Piala Super UEFA Super Cup pada 2012

JDT, yang dimantapkan dengan beberapa muka baharu, termasuk bekas pemain Watford dan Sheffield Wednesday, Fernando Forestieri serta bekas pemain Aston Villa, Shane Lowry dan Jordi Amat; memenangi Piala Sultan Haji Ahmad Shah buat kali keenam selepas menewaskan Terengganu FC 2-0, minggu lepas.

Malam tadi, juara sembilan kali Liga Super itu, menundukkan Kuala Lumpur (KL) City FC 3-0 menerusi gol sendiri Romel Morales pada minit ke-41, selain jaringan Endrick Dos Santos (52’) dan Arif Aiman Mohd Hanapi (90’).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS