Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Liridon akui teruja aksi pertama Liga Super
Diterbitkan:  Feb 27, 2023 10:55 PM
Dikemaskini: 2:55 PM

Pemain naturalisasi Terengganu FC (TFC), Liridon Krasniqi mengakui teruja untuk menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC, pada saingan Liga Super Rabu ini.

Pemain kelahiran Kosovo itu berkata beliau sudah bersiap sedia untuk diturunkan pada perlawanan penting menentang pasukan pernah diwakilinya pada 2015-2018, yang baru sahaja mencetak kemenangan pertama ke atas Perak FC Sabtu lepas.

Menurut Krasniqi, selepas sekian lama tidak memanaskan gelanggang, beliau sudah tidak sabar untuk berganding dengan rakan sepasukan baharu demi mencipta kemenangan.

"Saya sangat teruja untuk beraksi bersama pasukan baharu, TFC. Setelah beberapa bulan...amat menyenangkan untuk merasai kembali suasana bermain dalam liga.

“Saya akan main bersungguh-sungguh untuk bantu pasukan. Saya harap dapat meraih kemenangan pertama di Kedah,” katanya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp.

Selain itu, Krasniqi juga meminta rakan sepasukan melupakan episod kekalahan kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ismail (SSI) Jumaat lepas.

Beliau berkata skuad Penyu perlu mengekalkan tahap moral dan motivasi tinggi untuk memastikan mereka tidak pulang dengan tangan kosong .

"Ia pengajaran bermakna diperoleh daripada perlawanan dengan JDT. Saya rasa pemain TFC telah lakukan yang terbaik,” katanya.

Krasniqi yang dipinjamkan oleh JDT bagaimanapun tidak dapat beraksi pada perlawanan Piala Sumbangsih disebabkan perjanjian antara TFC dengan Harimau Selatan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS