Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
‘Speedy Tigers’ miliki ramuan terbaik bertemu Sepanyol - Mohamad Ashran

Pemain tengah skuad hoki kebangsaan Mohamad Ashran Hamsani optimis pasukan negara mampu melepasi halangan Sepanyol apabila kedua-dua pasukan bertemu pada aksi penentuan ke suku akhir Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar, India, Ahad ini.

Beliau berkata keyakinan itu hadir berdasarkan pertemuan memberangsangkan pada aksi persahabatan kedua-dua pasukan sebelum kejohanan itu bermula biarpun skuad negara tewas 2-3 di tangan pasukan ranking kelapan dunia itu.

“Kita telah menjalani aksi pemanas badan bertemu mereka jadi sedikit sebanyak mengetahui corak permainan mereka.

“Namun apa yang penting sekarang adalah untuk memikirkan penerapan taktikal terbaik untuk digunakan pada perlawanan itu nanti,” katanya menerusi video yang dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kepada media, hari ini.

Mohamad Ashran, yang menuntut rakan sepasukan bangkit daripada kekalahan di tangan Sepanyol baru-baru ini, berkata skuad negara kini mempunyai ramuan terbaik untuk mencipta kemenangan ke atas pasukan lawan itu.

“Kita akan berbincang mengenai disiplin, tumpuan penuh, elakkan kesilapan selain memastikan taktikal menyerang dan taktikal bertahan dapat diperbaiki,” katanya.

Semalam, skuad kendalian A. Arul Selvaraj yang menduduki ranking kesembilan dunia, menewaskan New Zealand 3-2 dalam aksi terakhir Kumpulan C.

Kemenangan itu adalah yang kedua buat Malaysia pada Piala Dunia 2023 selepas menewaskan Chile, 3-2 sekali gus menyaksikan skuad negara menamatkan saingan Kumpulan C di tempat kedua di belakang Belanda.

Secara keseluruhan, Malaysia pernah bertemu Sepanyol sebanyak 18 kali dengan pasukan negara hanya melakar tiga kemenangan dan dua keputusan seri manakala selebihnya dimenangi pasukan lawan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS