Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Yeoh perlu guna kuasa menteri, korbankan konsert Jay Chou - Armada
Diterbitkan:  Jan 6, 2023 2:59 PM
Dikemaskini: 7:02 AM

Ketua Pemuda Bersatu (Armada) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menggunakan kuasanya untuk 'mengorbankan' konsert penyanyi Taiwan, Jay Chou yang dijadual berlangsung 15 Jan ini.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal berkata ia bagi membolehkan Stadium Nasional Bukit Jalil digunakan sepenuhnya untuk perlawanan bola sepak separuh akhir pertama Piala AFF Sabtu ini.

Wan Fayhsal berkata pada separuh akhir Piala AFF 2018, seramai 87,545 penyokong hadir menyaksikan perlawanan berkenaan berbanding kali ini apabila 21,000 tempat duduk terpaksa dikorbankan berikutan kerja-kerja pemasangan struktur pentas konsert Jay Chou.

"Kenapa konsert hiburan oleh penyanyi Taiwan ini begitu penting berbanding maruah sukan negara dan kemahuan penyokong Harimau Malaya? Di saat kita ingin pupuk perpaduan dan patriotisme negara melalui sukan khususnya bola sepak, boleh pula diberi alasan sebegitu.

"Ini masalah bila Stadium Nasional yang sepatutnya mengutamakan sukan negara digunakan untuk acara lain yang sepatutnya boleh saja dibuat di tempat lain contohnya di Axiata Arena," katanya dalam kenyataan.

Justeru Wan Fayhsal menggesa Hannah Yeoh menggunakan kuasanya sebagai menteri untuk memperbetulkan keadaan.

"Menteri Belia dan Sukan perlu gunakan segala kuasa yang beliau ada untuk perbetulkan keadaan ini. Korbankan konsert artis Taiwan ini untuk membolehkan majoriti rakyat yang mahu menonton Harimau Malaya beraksi dalam sukan nombor 1 negara!

"Jangan khianati perjuangan para perwira negara kami!" katanya.

Semalam Yeoh menjelaskan 21,000 tempat duduk di Stadium Nasional Bukit Jalil terpaksa 'dikosongkan berikutan kerja-kerja pemasangan struktur pentas konsert berskala antarabangsa yang berlangsung pada 15 Jan.

Hannah berkata pemasangan struktur pentas di lokasi konsert berkenaan ditempah awal oleh pihak penganjur sejak Mac 2019 dan mustahil untuk mengubah situasi berkenaan memandangkan itu turut melibatkan jumlah kru yang ramai.

Terdahulu, kekosongan 21,000 tempat duduk itu mendapat kritikan daripada peminat bola sepak tanah air.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS