Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Operasi LRT Bukit Jalil dilanjut hingga 12.30 tengah malam
Diterbitkan:  Jan 6, 2023 11:50 AM
Dikemaskini: 3:50 AM

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) akan melanjutkan waktu perkhidmatan di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil sehingga 12.30 tengah malam sempena perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF 2022 melibatkan Malaysia dengan Thailand esok.

Rapid Rail dalam kenyataan hari ini memaklumkan bagi kelancaran pergerakan penumpang yang menaiki tren ke di Stadium Nasional Bukit Jalil, tren tambahan akan disediakan sejurus tamat perlawanan bagi keselesaan dan kelancaran pergerakan penyokong untuk pulang ke destinasi masing-masing.

"Kesemua stesen integrasi masih boleh diakses bagi penumpang dari Stesen Bukit Jalil yang ingin meneruskan perjalanan menggunakan tren laluan berbeza ke destinasi yang ingin dituju.

"Penumpang juga dinasihatkan agar menggunakan kad Touch ‘n Go serta memastikan baki kad mencukupi sebelum tiba di stesen bagi memudahkan perjalanan pergi dan balik," menurut kenyataan itu.

Sebagai langkah keselamatan, penumpang diwajibkan untuk memakai pelitup muka sepanjang berada di kawasan stesen dan di dalam tren bagi mengekang penularan Covid-19.

Rapid Rail memaklumkan sejumlah 13,892 ruang parkir tersedia di stesen-stesen LRT dan transit aliran massa (MRT) terpilih bagi penumpang yang ingin menggunakan perkhidmatan tren untuk ke stadium.

"Penumpang boleh menikmati kadar bayaran tetap parkir sebanyak RM4 apabila menggunakan kad Touch ‘n Go yang sama ketika menaiki perkhidmatan tren selain beberapa kakitangan tambahan akan ditempatkan di kawasan itu bagi melancarkan pergerakan penumpang keluar masuk di stesen," menurut kenyataan itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS