ADS
mk-logo
Sukan
Achraf tetap raikan kejayaan Maghribi bersama ciuman ibu
Diterbitkan:  Dec 7, 2022 11:22 AM
Dikemaskini: 3:24 AM

Menjadi salah seorang pemain utama kelab Paris Saint-Germain (PSG) sudah cukup membuat Achraf Hakimi Mouh dikenali di seluruh dunia, dan dikagumi ramai.

Namun nilai itu ia tidak akan pernah sama dengan pujian dan penghargaan yang diberikan kepadanya pada malam tadi apabila dia menjadi pelengkap kemenangan pasukan Maghribi dalam Piala Dunia kali ini.

Jaringan penalti gaya Panenka dilakukan Achraf itu menundukkan Unai Simon, sekali gus membolehkan Maghribi mengalahkan pasukan pilihan, Sepanyol dengan 3-0 melalui tendangan penalti.

Kemenangan itu juga membawa peminat bola sepak melihat bagaimana Achraf memberikan penghormatan yang amat tinggi kepada ibunya, Saida Mouh.

ADS

Media antarabangsa melaporkan, Achraf dilahirkan di Madrid, Sepanyol pada 4 Nov hampir 24 tahun lalu dan membesar di persekitaran jalanan bandar raya tersebut untuk beberapa lama sebelum diterima menyertai akademi bola sepak Real Madrid.

Selain Saida, watak utama yang berada di belakang Achraf ialah bapa pemain bola sepak terbabit Hasan Hakimi.

Menurut media Hasan dan Saida banyak berkorban untuk membuka jalan kepada Achraf meningkat setapak demi setapak dalam kerjaya sebagai pemain bola sepak.

Bagaimanapun tidak banyak maklumat mengenai kedua-dua mereka terdedah di media.

ADS

Sebagai pemain berbakat Achraf boleh bermain untuk pasukan kebangsaan Sepanyol namun dia memilih untuk mewakili negara asal ibu dan bapanya, Maghribi.

Sama seperti sebelum ini, selepas menjaringkan gol kemenangan negaranya, Achraf terus berlari ke tepi padang untuk mendapatkan Saida untuk meraikan detik tersebut bersama-sama wanita terbabit.

Merakamkan detik itu, Achraf memuat naik gambar dia dicium Saida dan dia membalasnya dengan mencium kepala wanita terbabit.

Mengiringi gambar itu ialah kata-kata "Uhibbuki ummi" (Aku sayang kamu, ibu).

Berdasarkan prestasinya Achraf dianggap salah seorang pemain pertahanan terbaik di dunia ketika ini.

Sebelum ini Achraf pernah memberitahu, ibunya bekerja sebagai tukang cuci rumah, manakala bapanya menjadi penjaja jalanan.

"Kami datang dari keluarga yang sangat sederhana yang bergelut untuk mencari rezeki.

ADS

"Hari ini saya berjuang setiap hari untuk ibu dan bapa yang sudah begitu banyak berkorban untuk saya," katanya.

Penentuan melalui penalti

Sebelum PSG, Achraf pernah bermain untuk beberapa kelab ternama lain termasuk Inter Milan, Borussia Dortmund, dan Real Madrid.

Malam tadi penentuan pemenang bagi perlawanan Maghribi - Sepanyol terpaksa ditentukan oleh sepakan penalti apabila kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol selepas masa tambahan.

Namun Achraf bukanlah satu-satunya wira buat Maghribi kerana di sana Yassine Bounou - atau Bono - turut memainkan peranan penting menafikan dua tendangan penalti Sepanyol.

Abdelhamid Sabiri meletakkan Maghribi di depan dengan sepakan pertama yang menewaskan Simon sebelum Pablo Sarabia gagal menyudahkan peluangnya untuk Sepanyol apabila bola terkena tiang gol di sebelah kiri.

Pemain Chelsea, Hakim Ziyech, mengukuhkan kedudukan Maghribi apabila menyempurnakan sepakan penalti dan memberikan tekanan lebih besar ke atas pasukan lawan.

Carlos Soler juga gagal memanfaatkan peluangnya apabila tendangan tersebut diselamatkan oleh Bono.

Namun Maghribi terpaksa menangguhkan kegembiraan mereka apabila Simon menyelamatkan sepakan Badr Benoun sekali gus menghidupkan semula peluang Sepanyol.

Tiba giliran ketua pasukan Sepanyol - dan Barcelona - Sergio Busquets menyelamatkan keadaan. Sebaliknya dia kecundang apabila gagal melepasi kawalan Bono.

Achraf kemudian menamatkan perjalanan Sepanyol apabila menendang dengan tenang bola untuk menerobos gawang Sepanyol.

Kemenangan itu membawa Maghribi mara ke pusingan suku akhir. Ia adalah kejayaan terbaik buat pasukan itu setakat ini.

Sepanyol kini berada di kedudukan ketujuh ranking dunia, berbanding Maghribi di tempat ke-22.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS