Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Shahrul Nizam kesal tak dapat beraksi di suku akhir Piala Malaysia

Pemain pertahanan Terengganu FC (TFC), Shahrul Nizam Ros Hasni meluahkan rasa kesal kerana tidak dapat beraksi pada perlawanan suku akhir Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur City (KL City) FC di Stadium Cheras, Ahad ini.

Beliau yang mendapat jolokan 'kereta kebal' digantung satu perlawanan selepas dilayangkan kad merah oleh pengadil ketika beraksi menentang Sri Pahang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Selasa lepas.

Pemain kelahiran Kelantan itu mengakui kesilapannya yang telah menjejaskan pasukan dan berazam untuk tidak mengulanginya pada masa hadapan.

"Saya akui kecewa apabila dikenakan kad merah. Tetapi saya perlu belajar daripada kesilapan dan terus pandang ke depan.

"Terima kasih kepada barisan kejurulatihan dan rakan sepasukan yang tidak menuding jari, malah memberikan kata-kata semangat untuk saya maju ke depan," katanya.

Selain sokongan rakan dan jurulatih, Shahrul Nizam turut melahirkan rasa kagum dengan penerimaan dan sokongan yang ditunjukkan oleh peminat setia skuad Penyu.

"Biasanya jika pemain dikenakan kad merah, peminat akan marah dan pelbagai komen negatif akan menyusul di media sosial selepas itu.

"Tetapi situasi sebaliknya berlaku apabila mereka memberi kata-kata perangsang untuk saya melupakan insiden terbabit, saya rasa begitu terharu dan dihargai," katanya.

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan rakan sepasukan supaya sentiasa waspada dengan ancaman dan kelicikan skuad The City Boys yang dinobatkan sebagai naib juara Piala Konfederansi Asia (AFC) 2022 baru-baru ini.

Katanya sebagai juara Piala Malaysia 2021, KL City pastinya akan memberi tentangan sengit kepada TFC dalam usaha mempertahankan piala paling berprestij di Malaysia itu.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS