Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Indonesia akan roboh stadium tragedi bola ragut 130 nyawa
Diterbitkan:  Oct 19, 2022 4:32 PM
Dikemaskini: 8:32 AM

Indonesia akan merobohkan dan membina semula stadium yang menyaksikan tragedi rempuhan dengan lebih 130 korban pada bulan ini, kata Presiden Joko Widodo itu sambil berikrar untuk "mengubah secara menyeluruh" sukan bola sepak di republik itu.

Presiden yang lebih dikenali sebagai Jokowi dipetik Reuters berkata demikian selepas bertemu Presiden Fifa Gianni Infantino.

"Saya juga menyampaikan dan Fifa mengapresiasi untuk Stadium Kanjuruhan di Malang juga akan kita runtuhkan dan kita bangun lagi sesuai dengan standard Fifa," kata Jokowi di Istana Kepresidenan Jakarta pada Selasa.

Rempuhan maut selepas perlawanan liga di bandar Malang, Jawa Timur pada 1 Okt lalu dikatakan berpunca kerana polis melepaskan gas pemedih mata di stadium, satu langkah kawalan orang ramai yang diharamkan oleh Fifa.

Presiden berkata dia setuju dengan Infantino mengenai perubahan ketara kepada cara sukan itu diuruskan di Indonesia.

"Dengan pengurusan stadium, utamanya yang berkaitan dengan kemudahan-kemudahan di stadium, standardnya seperti apa.

"Yang kedua, juga yang berkaitan dengan pengurusan keamanan, manajemen keselamatan, juga kita bicarakan secara terperinci," katanya.

Pertemuan antara Jokowi dan Infantino itu diadakan selepas Indonesia dan Fifa bersetuju untuk membentuk satu pasukan petugas bersama susulan tragedi stadium itu dan ketika Indonesia bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia Bawah 20 tahun tahun depan.

Bercakap bersama Jokowi, Infantino berkata keutamaan pertama FIFA adalah memastikan keselamatan pemain dan peminat di negara Asia Tenggara itu.

“Ini negara bola sepak, sebuah negara di mana bola sepak menjadi minat lebih 100 juta orang,” katanya.

"Kami berhutang kepada mereka bahawa apabila mereka menonton perlawanan mereka akan merasa selamat dan terjamin."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS