Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Yap Ling perlu 6 bulan untuk serasi dengan pasangan baru
Diterbitkan:  Oct 5, 2022 9:07 PM
Dikemaskini: Oct 6, 2022 10:18 AM

Pemenang pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) ke-20, Yap Ling berpandangan beliau memerlukan masa sehingga enam bulan bagi membentuk keserasian bersama pasangan baharunya Chen Tang Jie dalam acara beregu campuran.

Ling yang sebelum ini bermain dalam acara beregu wanita, mengakui corak permainan beregu campuran berbeza terutama dari segi kepantasan dan posisi di dalam gelanggang.

“Saya perlu belajar dan baiki banyak perkara lagi, kalau beregu wanita saya banyak main di bahagian belakang berbanding beregu campuran yang memerlukan saya bermain di hadapan,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang bersama Toh Ee Wei menghadiahkan emas buat Melaka ketika beraksi dalam acara beregu wanita pada Sukma, bangga kerana menjadi pilihan utama Tang Jie bagi menggantikan bekas gandingannya, Peck Yen Wei, baru-baru ini.

Pemain berusia 22 tahun itu juga tidak meletakkan sebarang sasaran pada penampilan sulung di Terbuka Australia 2022 pada 15 hingga 20 Nov ini kerana mahu menumpukan kepada usaha membina persefahaman bersama Tang Jie terlebih dahulu.

Pada masa sama, Ling berkata beliau menjadikan pasangan China terutamanya pemenang gangsa Kejohanan Dunia BWF 2022 di Tokyo iaitu Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping sebagai rujukan dalam mempelajari teknik diperlukan ketika beraksi dalam acara baharunya itu.

Minggu lepas, Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky memutuskan untuk ‘memecahkan’ gandingan Tang Jie-Yen Wei susulan kecederaan lutut dialami atlet wanita itu baru-baru ini.

Pada Mei lepas, Tang Jie-Yen Wei berjaya menamatkan penantian 23 tahun Malaysia dalam acara beregu campuran di Sukan SEA apabila menumpaskan satu lagi pasangan negara Hoo Pang Ron-Cheah Yee See 15-21, 21-19, 21-13, untuk merangkul emas pada edisi ke-31 di Hanoi, Vietnam.

Bagaimanapun, selepas kejayaan di temasya dwitahunan itu Tang Jie-Yen Wei dilihat bergelut dengan prestasi mereka termasuk tersingkir awal pada Kejohanan Dunia BWF dan Terbuka Jepun pada Ogos lepas.

- Bernama 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS