Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
'Seperti pesakit terlantar sembuh, boleh berlari' - Jurulatih teruja
Diterbitkan:  Aug 29, 2022 7:30 AM
Dikemaskini: Aug 29, 2022 12:29 AM

Kemenangan 21-19, 21-14 ke atas juara dunia tiga kali, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia akhirnya menamatkan badi beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, untuk menawan kejuaraan dunia pada Kejohanan Badminton Dunia 2022, di Tokyo, semalam.

Pencapaian itu menamatkan penantian 45 tahun peminat badminton tanah air untuk menyaksikan wakil negara meraih gelaran juara dunia, selain menjadi hadiah cukup istimewa kepada rakyat Malaysia sempena Hari Kebangsaan 2022 yang bakal disambut 31 Ogos ini.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky (gambar, bawah) berkata beliau mengetahui bukan mudah untuk mengalahkan beregu berpengalaman Indonesia digelar ‘The Daddies’ itu tetapi menasihatkan Aaron-Wooi Yij supaya memilih rali yang panjang dan tidak terlalu tergopoh-gopoh membalas hantaran.

“Kita dapat lihat betapa bagusnya Ahsan-Hendra bermain mulai pusingan pertama hingga separuh akhir, malah mereka menguasai set pertama hari ini.

"Saya memberitahu Aaron-Wooi Yik bahawa, dari segi kelajuan, mereka lebih baik dan boleh mencabar Ahsan-Hendra, tetapi perlu membina keyakinan diri.

“Mereka hanya terus berjuang mata demi mata, sehingga mereka mendapat peluang untuk mendahului dengan beberapa mata, di situlah timbulnya keyakinan mereka untuk memenangi perlawanan,” kata Rexy dalam temu bual dengan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas aksi final itu.

Kuasa besar badminton seperti Indonesia, China, Jepun, Denmark dan Korea Selatan, malah Singapura, India dan Thailand telah melahirkan juara dunia namun gelaran dunia kekal sukar untuk Malaysia sehingga Aaron-Wooi Yik mencapai kejayaan.

Rexy berkata, sejak kembali ke BAM sebagai Timbalan Pengarah Kejurulatihan Oktober lalu, beliau lebih menumpukan pada usaha memupuk set minda kemenangan dan membina keyakinan Aaron-Wooi Yik berbanding kemahiran.

“Apabila menyentuh tahap mereka, kita tidak menumpukan kepada kemahiran dan teknik kerana ia tidak banyak yang perlu diubah tetapi kepercayaan dan keyakinan diri apabila berdepan dengan pemain utama. Jika memiliki pemikiran seperti 'dengan kemahiran saya, saya boleh bersaing dengan sesiapa sahaja.'

“Kemudian cuba kurangkan kesilapan dan pemikiran negatif mereka. Cuma semua perkara ini perlu saya perbaiki...Jadi apabila semua perkara ini dicantum, kemahiran itu akan terserlah,” tambahnya.

Mengulas kritikan yang dihadapi oleh pemain kerana sering terkandas di peringkat separuh akhir, Rexy berkata kritikan sebegitu seharusnya hanya membina mentaliti yang kuat terutama pemain bertaraf dunia.

Ditanya tentang perasaannya apabila anak buahnya merangkul kejuaraan, beliau menyifatkan ia bagaikan amat teruja seperti seorang pesakit terlantar dan tiba-tiba sembuh dan boleh berlari.

“Ucapan tahniah kerana menjadi pemain pertama Malaysia merangkul kejuaraan. Saya sentiasa berpesan bahawa mereka hanya perlu bermain untuk diri sendiri, keluarga dan negara.

“Saya bangga dengan pencapaian mereka dan bersyukur kepada Tuhan kerana sepanjang minggu saya berdoa dengan memohon keberkatan diberikan kepada pemain untuk membawa pulang gelaran pertama di pentas dunia untuk Malaysia,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS