Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Ciapan Elon Musk 'Saya mahu beli Manchester United'

Elon Musk, manusia paling kaya di dunia, pada Selasa menulis di Twitter bahawa dia mahu membeli kelab bola sepak Inggeris Manchester United Plc tetapi tidak memberikan sebarang butiran.

Musk mempunyai sejarah membuat ciapan yang tidak berkaitan, justeru masih tidak jelas sama ada dia merancang untuk meneruskan urus niaga berkenaan. Manchester United sedang berdepan dengan krisis susulan persembahan hambarnya dengan ramai peminat mahu pemiliknya ditukar.

"Saya mahu membeli Manchester United terima kasih," kata Musk dalam satu ciapan di Twitter.

Manchester United adalah antara kelab bola sepak yang mempunyai penyokong paling ramai di dunia dengan lebih 32 juta pengikut di akaun Twitter utamanya.Ciapan Musk itu memperoleh 220,000 'suka' dalam masa dua jam.

Hantaran Musk itu adalah komen susulan ciapannya sebelum ini: "Biar jelas, saya sokong separuh kiri Parti Republikan dan separuh kanan Parti Demokrat! Separuh bahagian kiri dan separuh bahagian kanan adalah kedudukan barisan bola sepak.”

Komen ketua eksekutif syarikat kereta elektrik Tesla dibuat ketika United, juara England dengan rekod 20 kali, dan telah memenangi Piala Eropah, pertandingan kelab paling berprestij di dunia sebanyak tiga kali tetapi mengalami mimpi ngeri semasa permulaan musim bolasepak liga 2022-2023.

Sebagai antara pasukan yang paling terkenal dan paling ramai penyokong di dunia, United terlantar di kedudukan corot Liga Perdana Inggeris selepas tewas dua perlawanan pertama mereka.

Sahamnya yang tersenarai di New York merosot 24 peratus dalam tempoh 12 bulan yang lalu, dengan nilai lebih $2 bilion.

Manchester United dikawal oleh keluarga Glazer dari Amerika Syarikat (AS), yang tidak memberikan maklum balas segera kepada permintaan untuk mendapatkan kenyataan.

Dalam ranking tahunannya tahun ini, Forbes menilai Manchester United, sebagai kelab bola sepak ketiga paling berharga di dunia, dengan nilai $4.6 bilion, iaitu hanya di belakang gergasi Sepanyol, Real Madrid dan Barcelona.

- Reuters

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS