Pemenang pingat perak acara powerlifting di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 Jong Yee Khie, menarik diri daripada bertanding di Sukan Komanwel 2022 Birmingham yang dijadualkan bermula 28 Julai hingga 8 Ogos ini.
Perkara itu disahkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam satu kenyataan hari ini yang menyatakan, perkara itu berikutan kecederaan dialami Yee Khie semasa menjalani sesi latihan persiapan ke Birmingham baru-baru ini.
Kenyataan itu menyebut penarikan diri tersebut dibuat setelah mendapat pengesahan tahap kecederaan yang dialami jaguh berusia 33 tahun itu, daripada Institut Sukan Negara (ISN).
“Susulan itu, bilangan atlet dalam kontinjen Malaysia ke Birmingham 2022 adalah seramai 105 orang. Pihak MOM mendoakan dan berharap agar Yee Khie akan sembuh sepenuhnya daripada kecederaan dan kembali beraksi dalam tempoh terdekat,” menurut kenyataan MOM itu.
Ketiadaan Yee Khie sudah pasti merencatkan lagi sasaran pingat negara di Birmingham, berikutan kejayaannya meraih perak kategori 107 kilogram di Tokyo dan Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2021.
Beliau turut pernah meraih pingat perak di Komanwel 2018 Gold Coast, Australia dan gangsa edisi 2014 di Glasgow, Scotland, selain emas di Sukan Para ASEAN 2015 Singapura dan 2017 Kuala Lumpur.
Yee Khie menjadi atlet berpotensi ketiga negara untuk menarik diri dari Komanwel, selepas jaguh badminton Lee Zii Jia yang mahu fokus kepada Kejohanan Dunia dan pemain skuasy S. Sivasangari yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Maju (MEX) hujung bulan lepas.
MOM sebelum ini menetapkan sasaran tujuh emas menyamai pencapaian di Gold Coast, namun ia akan dikaji semula berikutan ketiadaan tiga atlet tersebut.
- Bernama