Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Kompleks Sukan Labuan dibaik pulih, kos RM17 juta

Kompleks Sukan Labuan yang telah berusia 36 tahun sedang dibaik pulih melibatkan kos berjumlah RM17 juta.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Labuan Syahffie Japril berkata antara yang dibaiki dan diperbaharui adalah gelanggang untuk bola keranjang, bola tampar, tenis dan badminton.

“Projek tersebut turut merangkumi naik taraf stadium, dewan serba guna dan struktur stadium (trek larian dan padang bola sepak),” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata kerja-kerja pembaikan telah bermula Disember tahun lepas dan dijadualkan siap pada April 2024.

“Kerja-kerja naik taraf dan pembaikan, yang berada di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, perlu dilaksanakan berikutan kemudahan sudah usang.

“Kami optimistik projek berkenaan akan berjalan lancar demi kepentingan atlet tempatan dan orang awam serta untuk (penganjuran) kejohanan sukan besar,” katanya.

Menurut Syahffie kolam renang bersaiz Olimpik di kompleks itu akan dirobohkan untuk projek fasiliti lain.

Tinjauan Bernama sebelum ini mendapati kompleks sukan tersebut, yang terletak pada kawasan seluas 50 ekar, telah dibiarkan tanpa penyelenggaraan.

Kolam renang didapati kelihatan seperti kolam menternak ikan dan kali terakhir digunakan ialah pada Sukan Borneo 2014.

Trek larian juga 90 peratus rosak susulan permukaannya yang telah retak serta tidak selamat untuk digunakan, selain permukaan gelanggang tenis yang licin yang perlu dibaik pulih dan dicat semula.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS