Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Owen tetap anggap Liverpool pasukan terunggul Eropah
Diterbitkan:  May 30, 2022 6:14 PM
Dikemaskini: 10:15 AM

Bekas penyerang Liverpool Michael Owen tetap menganggap The Reds sebagai kelab terulung di rantau Eropah walaupun tewas 0-1 di tangan Real Madrid dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara Eropah pagi Ahad lalu.

Bagi Owen, Liverpool hanya kurang bernasib baik dalam perlawanan itu walaupun menampilkan corak permainan yang lebih baik berbanding Real Madrid.

“Hanya kerana anda memenangi sebuah piala, itu tidak menentukan anda sebagai sebuah pasukan yang hebat. Lebih banyak faktor yang perlu diambil kira dan Liverpool merupakan antara pasukan yang layak untuk berada dalam kelas itu.

“Saya masih percaya Liverpool adalah pasukan bola sepak terulung di Eropah,” katanya seperti dipetik laman Independent.

Prestasi Liverpool pada musim ini telah menyebabkan ramai penyokongnya mengimpikan kemenangan 'quadruple', iaitu untuk Piala Carabao, Piala FA, Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-juara Eropah.

Namun harapan itu punah apabila Manchester City menang menentang Aston Villa di perlawanan terakhir, seterusnya menang liga dengan kelebihan satu mata berbanding Liverpool.

Kira-kira seminggu kemudian, dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara Eropah, anak buah Jurgen Klopp tewas pula di tangan skuad Los Blancos kendalian Carlo Ancelotti yang teguh menyekat kemaraan serangan Liverpool sehingga wisel penamat.

Akhirnya, untuk musim ini kelab Merseyside tersebut terpaksa akur dengan hanya dua piala, iaitu Piala Carabao dan Piala FA.

Sebelum perlawanan akhir bermula, Owen meramalkan Liverpool akan menang besar dan Real Madrid akan ditundukkan dengan mudah.

“Ia adalah satu keajaiban yang Madrid berjaya sampai ke peringkat ini dalam saingan Liga Juara-juara tetapi Liverpool bakal memberikan mereka tentangan yang terbesar.

"Saya dapat lihat The Reds menang selesa,” katanya yang pernah menang anugerah Ballon d'Or ketika bersama pasukan itu pada tahun 2001.

Namun ramalan itu ternyata meleset apabila jaringan tunggal tunggal Real Madrid yang disumbangkan Vinicius Junior pada minit ke-59 cukup untuk menambah koleksi ke-14 trofi Liga Juara-juara bagi kelab gergasi Sepanyol itu.

Liverpool sebelum ini juga pernah dikecewakan Real Madrid dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara Eropah pada musim 2017/2018 dengan keputusan 3-1.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS