Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Prestasi Sukan SEA: Kritikan perlulah konstruktif, kata timb menteri

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengalu-alukan kritikan berkaitan pungutan pingat negara di Sukan SEA Vietnam, namun kritikan tersebut perlulah suatu yang konstruktif, kata Timbalan Menterinya Ti Lian Ker.

Beliau berkata kritikan berkaitan sasaran juga perlulah pada masa bersesuaian, yang menurut beliau pada ketika sasaran 36 pingat emas itu ditetapkan, selepas merujuk kepada kesemua pihak berkepentingan dan persatuan sukan.

“Sasaran itu bukanlah dibuat sesuka hati atau tanpa rujukan… ia dibuat merujuk kepada jenis sukan yang telah ditetapkan oleh tuan rumah, yang mempunyai kelebihan kerana mereka boleh memilih jenis sukan.

“Setiap Sukan SEA mampunyai ekosistem berbeza. Kami mengalu-alukan kritikan tetapi ia adalah lebih baik jika dibuat pada ketika sasaran itu ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan selepas merasmikan program Rakan Wira Mahir peringkat negeri Pahang hari ini.

Ti berkata sebenarnya para atlet negara telah mencatatkan keputusan lebih baik dari yang disasarkan, apabila membawa pulang 39 pingat emas, yang sepatutnya diberikan pujian.

Ti berkata satu lagi fakta yang perlu dinyatakan ialah 60 peratus daripada atlet yang mengambil bahagian pada temasya dwitahunan itu merupakan atlet yang menyertainya buat kali pertama, dan 40 peratus daripada mereka berusia di bawah 21 tahun.

Ti juga menafikan tuduhan Steven Sim dari DAP bahawa Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu, cuba menyalahkan atlet atas prestasi negara di Sukan SEA 2022 itu dan menyalahkan kementerian kerana memotong 80 peratus daripada belanjawan untuk penyertaan kejohanan antarabangsa pada Belanjawan 2022.

Mengenai perkara itu Ti berkata Ahmad Faizal telah berusaha keras untuk mendapatkan semula apa yang tidak diberikan dalam Belanjawan, dan ia sesuatu yang tidak adil untuk menyalahkan beliau kerana belanjawan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

“Kritikan tidak seharusnya bersifat peribadi dan kritikan tidak seharusnya memainkan semula isu yang telah diselesaikan, hanya untuk memulakan serangan baru yang dibuat tidak berdasarkan fakta sebenar atau tidak mengambarkan situasi sebenar,” katanya.

Sementara itu Ti berkata program peningkatan kemahiran itu memberikan belia tempatan kelebihan dalam kerja-kerja berkaitan bidang tersebut dan meningkatkan lagi kefahaman orang ramai berkaitan isu itu.

Beliau berkata walaupun sebagai pekerja mahir, mungkin akan bermula dengan gaji yang rendah namun peningkatan kerjaya boleh jadi lebih mudah, di samping membuka peluang untuk mereka menjadi usahawan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS