Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Takraw: Pemuda PAS bantah cadangan Istaf wujud regu campuran
Diterbitkan:  May 25, 2022 5:44 PM
Dikemaskini: 9:44 AM

Pemuda PAS hari ini menggesa Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) memulaukan Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand ke-35 di Bangkok Julai ini jika ada kategori regu campuran dipertandingkan.

Pengarah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Pemuda PAS (DACS) Faizuddin Zai berkata walaupun kegiatan bersukan memang dituntut dalam Islam, penganutnya mesti mematuhi batasan yang ditetapkan.

Misalnya kata Faizuddin mengenai batas pergaulan lelaki dan perempuan.

Atas sebab itu katanya Pemuda PAS berasa bimbang dengan cadangan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) untuk mewujudkan pertandingan bagi kategori campuran lelaki-perempuan.

Pemuda PAS berpendapat tiada keperluan untuk mewujudkan kategori ini, selain ia tidak sesuai dengan budaya ketimuran dan adat masyarakat Asia Tenggara selaku pewaris dan pengasas sukan sepak takraw.

"Dari segi kesesuaian juga, agak sukar untuk kategori ini dilaksanakan dengan baik kerana perbezaan fizikal dan kekuatan antara lelaki dan perempuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini Istaf memberitahu gabungan itu akan memperkenalkan acara kategori campuran membabitkan seorang pemain lelaki dan dua wanita dalam kejohanan Piala Raja Thailand ke-35 dari 23 hingga 31 Julai ini.

Melalui kategori itu pemain lelaki dan wanita bebas memilih posisi masing-masing dan pertukaran pula dihadkan kepada jantina yang sama.

Faizuddin berkata adalah lebih baik untuk Istaf memperkasakan kategori sedia ada demi mengangkat martabat sukan sepak takraw di mata dunia.

"Begitu juga PSM digesa untuk tidak menyertai kategori ini dalam kejohanan tersebut.

"Lebih baik segala usaha dan kudrat digunakan untuk menguatkan skuad yang sedia ada bagi mengembalikan kegemilangan Malaysia di mata dunia.

"Setiap yang kita lakukan pasti akan membuahkan hasil dan kejayaan seandainya prinsip syarak yang menjadi tunjang tidak digadaikan hanya untuk bersukan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS