Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Prestasi hambar di Vietnam: MSN jelaskan isu elaun atlet dipotong

Majlis Sukan Negara (MSN) menafikan langkah kerajaan memotong elaun para atlet menjadi punca prestasi kontinjen negara di Sukan SEA dilihat sangat tidak memuaskan.

Ketua Pengarah MSN Ahmad Shapawi Ismail menjelaskan, atlet negara yang layak sudah diberikan tawaran untuk menyambungan kontrak bagi mengikuti latihan sepenuh masa di bawah Program Podium pada Jan lalu.

Ketika itu, katanya, ada cadangan agar kadar elaun latihan yang diberikan kepada atlet dikurangkan kerana tiadanya peruntukan khusus untuk tujuan berkenaan.

“Bagaimanapun, hasil inisiatif Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu yang turut disokong rakan-rakan menteri lain, kabinet bersetuju mengembalikan peruntukan sebanyak RM60 juta setahun bagi membiayai Program Podium.

“Ekoran itu, arahan pembayaran penuh elaun latihan dikeluarkan kepada MSN pada pertengahan Jan dan semua atlet secara serta-merta kembali menikmati bayaran mengikut kelayakan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Shapawi berkata demikian sebagai respon kepada laporan Malaysiakini hari ini berhubung pandangan bekas jaguh pecut negara Watson Nyambek mengenai prestasi atlet negara di Vietnam baru-baru ini.

Isu pemotongan elaun juga dibangkitkan bekas timbalan menteri belia dan sukan Steven Sim.

Mahu KBS tunjuk butiran

Menurut Watson kurangnya pendedahan kepada pertandingan di luar negara dalam kalangan atlet sewaktu pandemik menjadi faktor kepada prestasi tidak memuaskan dalam Sukan SEA ke-31 itu.

Watson juga berpendapat pemotongan elaun seperti yang dibangkitkan Sim sebelum ini turut boleh memberi kesan kepada prestasi atlet.

Menurut Ahmad Shapawi, dia sudah menghubungi Watson selepas laporan Malaysiakini itu disiarkan untuk menjelaskan keadaan.

“Faktor kurangnya pendedahan pertandingan di luar negara untuk atlet negara sebelum ke temasya Sukan SEA di Vietnam memang diakui dan dinyatakan ketika rumusan prestasi Kontinjen Malaysia pada 22 Mei lalu.

“Ia bukan kerana kekangan kewangan, sebaliknya banyak kejohanan tidak dianjurkan atau dibatalkan oleh negara-negara penganjur ekoran langkah kawalan pandemik Covid-19 sejak Mac 2020 lagi.

“Namun pada masa sama, dakwaan pemotongan elaun atlet yang kali pertama ditimbulkan bekas timbalan menteri belia dan sukan Steven Sim, dan turut diulas Watson dalam artikel berkenaan kurang tepat dan perlu diperjelaskan,” kata Shapawi.

Menurutnya lagi setiap pemenang pingat emas Sukan SEA menerima elaun latihan RM2,000 sebulan, diikuti RM1,500 sebulan untuk pemenang pingat perak dan RM1,000 untuk gangsa.

Pemenang-pemenang pingat emas Sukan Asia dan Sukan Komanwel pula katanya menerima elaun latihan bulanan sebanyak RM4,500 seorang berbanding RM4,000 untuk pingat perak dan RM3,500 gangsa.

Katanya jumlah elaun bulanan diterima pemenang pingat emas Sukan Olimpik pula ialah RM7,500, pingat perak RM7,000 manakala RM6,500 untuk pemenang pingat gangsa.

Sementara itu Sim dalam respons balasnya kepada Malaysiakini meminta MSN dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersikap lebih telus dengan menunjukkan laporan elaun dan laporan prestasi atlet negara.

“Biar MSN dan KBS yang jelaskan. Mungkin lebih telus jika menteri tunjukkan laporan elaun dan laporan prestasi - siapa yang dapat berapa dan kenapa, siapa yang ditamatkan elaun, siapa yang tambah elaun, siapa yang kena potong elaun,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS