Kurangnya pendedahan pertandingan di luar negara di kalangan atlet sewaktu pandemik, menjadi faktor kepada prestasi yang tidak memuaskan pada Sukan Asia Tenggara (SEA) baru-baru ini.
Menurut bekas ‘raja pecut’ negara Watson Nyambek, jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya, sebanyak enam hingga tujuh kali setahun pertandingan luar diadakan, iaitu empat meliputi di rantau Asia, manakala dua hingga tiga di Eropah.
“Oleh kerana pendemik ini, pendedahan pertandingan di luar negara amat kurang. Di situlah kelemahan ketara kepada atlet negara kita.
“Hanya dua, tiga saja pertandingan luar (negara) diadakan, itu tidak mencukupi. Sekurang-kurangnya lima ke atas.
“Jadi atlet kita kurang semangat,” katanya kepada Malaysiakini.
Watson yang kini merupakan jurulatih di Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSN) bahagian Miri, bersetuju ketika diminta mengulas sama ada kerajaan sewajarnya memberikan peruntukan dana yang secukupnya untuk atlet dari segi elaun dan menyertai lebih banyak pertandingan di luar negara bagi memulihkan prestasi atlet.
“Ya, itu yang patut dilakukan untuk memastikan prestasi atlet dalam keadaan yang terbaik,” katanya.
Untuk rekod, Malaysia berada di belakang Vietnam, Thailand, Indonesia, Singapura dan Filipina, yang juga merupakan pencapaian terendah dalam tempoh hampir 40 tahun.
Ketika Sukan SEA di Singapura pada 1983, Malaysia buat pertama kalinya berada di kedudukan lima ke bawah.
Pada Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam baru-baru ini, Malaysia hanya memungut 39 emas, 45 perak dan 89 gangsa.
Mengulas isu pemotongan elaun di kalangan atlet, seperti yang didakwa oleh bekas timbalan menteri belia dan sukan Steven Sim, Watson mengakui ia turut menjadi faktor penurunan prestasi atlet di Sukan Sea.
Anak kelahiran Sarawak yang pernah mendapat jolokan ‘The Flying Dayak’ pada satu ketika dahulu berkata ramai atlet menyatakan keluhan mereka akibat lengkah berkenaan.
“Isu pemotongan peruntukan juga memainkan peranan, kita tengok ramai atlet yang merungut tentang elaun mereka dipotong. Ia juga salah satu faktor penurunan prestasi atlet tersebut,” katanya.
Pada 22 Mei, Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam menegur sikap Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu yang seolah-olah mengeluarkan kenyataan menyalahkan atlet negara selepas Malaysia menduduki tangga keenam dalam Sukan SEA.
Sim berkata Ahmad Faizal yang sepatutnya dipersalahkan. Dakwanya bawah teraju menteri berkenaan, atlet bergelut dengan pemotongan peruntukan yang tinggi.
Pada Januari lalu, Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu berkata pemenang pingat perak dan gangsa Sukan SEA serta Sukan Para Asean dinaikkan kadar elaun berkuat kuasa serta-merta.
Katanya, pemenang perak akan menikmati kenaikan elaun daripada RM800 kepada RM1,500, manakala gangsa pula dari RM800 kepada RM1,000 sebulan.