Lee Zii Jia yang beraksi cemerlang pada dua set terakhir selepas tewas pada set pertama, menjuarai perseorangan lelaki Terbuka Thailand di Impact Arena di Bangkok, hari ini.
Pemain perseorangan utama negara itu mempamerkan permainan cemerlang untuk mengalahkan Li Shi Feng dari China untuk menjadi pemain Malaysia ketiga memenangi gelaran itu.
Pemain nombor enam dunia itu menewaskan pemain bukan pilihan Shi Feng 17-21, 21-11, 23-21, dalam masa 70 minit.
Beliau ketinggalan 4-11 kepada Shi Feng pada set penentuan, namun berjaya mengekalkan permainannya dan mengejar sehingga terikat 21-21. Beliau kemudiannya tidak memandang ke belakang dan terus memenanginya dengan 23-21.
Selepas Yong Hock Kin pada 2001 dan Hafiz Hashim (2005) Zii Jia pemain Malaysia ketiga memenanginya dan ini merupakan gelaran keduanya selepas menjadi pemain persendirian. Zii Jia menjuarai Kejohanan Badminton Asia di Manila, awal bulan ini.
Pemain dari Kedah itu berkata yang beliau berterusan memberitahu dirinya untuk terus tenang ketika ketinggalan pada set penentuan, sebelum beliau berjaya kembali melawan dan menang perlawanan itu.
“Ia satu perlawanan yang sukar. Shi Feng bermain dengan amat baik sekali, bukan sahaja hari ini tetapi di sepanjang kejohanan ini. Beliau seorang lawan yang sukar. Saya amat gembira untuk melepasinya.
“Saya kata pada diri saya untuk tidak putus asa ketika ketinggalan 4-11. Pada saat genting, saya tenangkan diri dan hadapinya,” katanya kepada Bernama.
Zii Jia mengakui yang beliau keletihan dari segi mental dan fizikal, selepas kejohanan berintensiti tinggi - Kejuaraan Asia dan Piala Thomas, namun beliau terus berjuang untuk menang gelaran itu.
“Saya amat mahukan gelaran ini,” katanya.
Zii Jia menang US$27,000, manakala Shi Feng membawa pulang US$13,680.
Sementara itu pemain Taiwan Tai Tzu Ying menjuarai perseorang wanita selepas mengalahkan pemain China Chen Yu Fei, 21-13,17-21, 21-12.
Dalam acara beregu, pasangan Jepun Nami Matsuyama-Chiharu Shida mengalahkan rakan senegara Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara, 17-21,21-15, 26-24.
Dalam acara beregu lelaki pula menyaksikan pasangan Jepun Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, memenangi gelaran itu selepas pasangan Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, menarik diri.
- Bernama