TERBUKA THAILAND | Perseorangan Malaysia Lee Zii Jia terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya menundukkan Shesar Hiren Rhustavito dari Indonesia untuk layak ke pusingan separuh akhir Terbuka Thailand di Impact Arena, Bangkok malam tadi.
Zii Jia akan bertemu rakan senegara, Liew Daren, yang turut mara ke separuh akhir selepas menewaskan Zhao Jun Peng dari China 21-10, 19-21, 21-19.
Pemain nombor enam dunia itu - yang kini pilihan utama dalam saingan perseorangan lelaki - mengambil masa 56 minit untuk meraih kemenangan 21-10, 14-21, 21-16 ke atas Shesar Hiren.
Pemain berusia 24 tahun itu bermain baik pada set pertama namun tidak dapat mengekalkan momentumnya sebelum tewas pada set kedua 14-21.
Zii Jia mempamerkan kekuatan mentalnya pada set penentuan apabila bangkit selepas ketinggalan 4-12 untuk mengutip mata demi mata dan mengikat kedudukan pada 15-15.
Juara Asia itu seterusnya mengerahkan sepenuh tenaga untuk meraih kemenangan 21-16, sekali gus menempah tempat ke separuh akhir esok.
Kemenangan itu membawa rekod tanpa kalahnya kepada 11 perlawanan, bagaimanapun pemain badminton profesional itu mengakui perlawanan itu adalah mencabar.
“Saya kurang yakin dan fokus pada perlawanan hari ini. Kecergasan saya OK namun mental agak penat terutama selepas kejohanan berintensiti tinggi, Kejohanan Asia dan Piala Thomas.
"Saya akan buat yang terbaik dalam separuh akhir esok (hari ini),” katanya kepada Bernama.
Daren juga terpaksa bekerja keras bagi mendapatkan slot ke separuh akhir.
“Perlawanan berdepan Zii Jia esok sukar. Saya akan cuba yang terbaik,” katanya.
Sementara itu, beregu utama Malaysia Aaron Chia-Soh Wooi Yik terus meraih keputusan cemerlang dan turut menempah tiket ke separuh akhir hari ini selepas menewaskan pasangan Taiwan Lee Yang-Wang Chi Lin 21-17, 21-10 dalam hanya 29 minit.
Pemenang gangsa Olimpik Tokyo dan pilihan keenam kejohanan itu akan bertemu beregu Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.
Satu lagi beregu Malaysia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tersingkir di suku akhir selepas ditewaskan gandingan Jepun Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-18, 21-17.
Beregu wanita kebangsaan Pearly Tan-M Thinaah lebih bernasib baik apabila menewaskan Yuki Fukushima-Sayaka Hirota dari Jepun 24-22, 21-12 dalam straight set.
Pasangan itu akan berdepan beregu China Chen Qing Chen-Jia Yi Fan.
Sementara itu, beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Lai Shevon Jemie tewas straight game kepada beregu Jepun Yuta Watanabe-Arisa Higashino 18-21, 17-21.
- Bernama