Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Skrip lama berulang, pasukan takraw dikecewakan Thailand lagi

Skuad sepak takraw lelaki negara mengulangi skrip yang sama apabila meraih pingat perak acara antara regu pada temasya Sukan SEA ke-31 di Hanoi, petang ini.

Membariskan Zarif Marican Ibrahim Marican sebagai tekong, Norfaizzul Abd Razak selaku pengumpan dan Afifuddin Razali selaku perejam, pasukan negara gagal menyaingi kehebatan jaguh dunia Thailand, apabila tumpas 0-2 pada saingan final berlangsung di Gimnasium Hoang Mai.

Pada set pertama, anak buah Abdul Talib Ahmad itu mampu memberi tentangan sengit kepada regu Thailand yang dibarisi Siriwat Sakha (tekong), Pattarapong Yupadee (pengumpan) dan Jirasak Pakbuangoen (perejam), sebelum tumpas 18-21.

Thailand yang memasukkan Sittipong Khamcan bagi menggantikan Siriwat di penghujung set pertama, ternyata memberi kesukaran kepada skuad negara, apabila servis tajamnya memberikan banyak mata pada set kedua dan regu Malaysia terpaksa akur dengan kekalahan 13-21.

Pencapaian pingat perak itu sekali gus menyamai kejayaan pada edisi 2019 di Filipina. Indonesia dan Filipina berkongsi pingat gangsa acara berkenaan.

Ketika ditemui pemberita, Abdul Talib mengakui Thailand memiliki kelebihan memperoleh banyak mata menerusi servis daripada tekong, biarpun secara keseluruhan anak buahnya telah menampilkan aksi terbaik pada saingan final itu.

“Mereka menggunakan dua tekong (melakukan pertukaran) dan mereka mendapatkan banyak mata (melalui servis). Apa pun pemain kita telah menunjukkan prestasi baik dan ia memberi petanda positif,” katanya.

Sementara itu, skuad wanita negara terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa, sekali gus menyamai pencapaian pada edisi 2019 apabila menumpaskan Kemboja 21-10, 21-7 pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.

Seperti dijangka Thailand turut unggul dalam kategori wanita antara regu, apabila meraih pingat emas manakala tuan rumah Vietnam memenangi perak.

Kali terakhir Malaysia meraih emas dalam acara regu lelaki adalah di Sukan SEA Kuala Lumpur pada 2017, namun ketika itu tanpa penyertaan Thailand.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS