Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Vietnam, tuan rumah Sukan SEA ke-31, akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan temasya dwitahunan itu berjalan lancar, selepas tertunda setahun akibat pandemik COVID-19, kata Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Nguyen Van Hung.

Nguyen, yang juga Ketua Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA ke-31 dan Presiden Jawatankuasa Olimpik Vietnam, berkata Vietnam cuba sedaya upaya untuk memastikan temasya itu berlangsung tanpa sebarang gangguan.

“Amat sukar untuk menganjurkan Sukan SEA kali ini kerana cabaran COVID-19. Kami cuba yang terbaik, dan dengan sokongan semua orang, kami berharap dapat menganjurkan temasya ini dengan jayanya,” katanya ketika melawat Pusat Media Utama (MPC) di Pusat Konvensyen Nasional Vietnam di Hanoi, hari ini.

Beliau turut mengambil kesempatan untuk bertanya khabar dan mendapatkan maklum balas daripada petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang membuat liputan Sukan SEA, diketuai Editor Sukan Elmi Rizal Elias semasa lawatan itu.

Ini merupakan kali kedua Vietnam menganjurkan Sukan SEA, selepas kejayaan edisi 2003.

Kira-kira 10,000 peserta dari 11 negara di rantau ini dijangka menyertai 526 acara daripada 40 sukan yang dipertandingkan dalam Sukan SEA kali ini.

Sukan SEA akan bermula secara rasmi dengan majlis perasmian yang dijadualkan pada 6 petang (7 malam waktu Malaysia) esok di Stadium Nasional My Dinh yang berkapasiti 40,000 orang.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS