Peminat sukan terjun bakal menyaksikan dua penerjun terbaik negara Datuk Pandelela Rinong Pamg dan Nur Dhabitah Sabri kembali bergandingan pada temasya Sukan SEA Hanoi di Vietnam dijadual pada 12 hingga 23 Mei ini.
Perkembangan itu sekali gus menjawab teka-teki mengenai status pasangan baharu Pandelela bagi acara 10 meter (m) platform seirama wanita susulan kekosongan ditinggalkan bekas penerjun Datuk Leong Mun Yee yang bersara Disember tahun lepas.
Mengesahkan perkara itu, ketua jurulatih skuad terjun kebangsaan Li Rui berkata Nur Dhabitah dipilih untuk bergandingan bersama Pandelela dalam acara 10m platform seirama wanita di Hanoi selepas berjaya membuktikan kemampuan sepanjang tempoh persediaan menghadapi temasya dwitahunan itu.
"Selepas tamat Sukan Olimpik (Tokyo 2020) kita ada buat persiapan untuk acara platform, setakat ini gandingan Pandelela-Nur Dhabitah nampak bagus. Sebenarnya, sudah tiga tahun dia (Nur Dhabitah) tidak beraksi dalam acara platform tetapi dia tetap okey dan tidak kekok," katanya.
Beliau berkata demikian dalam bahasa Mandarin sebelum diterjemahkan oleh Mun Yee yang kini pembantu jurulatih skuad terjun negara pada sidang media Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini.
Gandingan Pandelela dan Nur Dhabitah dalam acara 10m platform seirama bukanlah sesuatu yang baharu, kerana sebelum ini mereka pernah memenangi pingat gangsa pada Sukan Komanwel Glasgow 2014 dan pingat perak pada Siri Terjun Dunia FINA keempat di Windsor, Kanada pada 2017.
Li Rui pada masa sama memaklumkan di Hanoi, Nur Dhabitah turut bertanding dalam acara 1m papan anjal individu wanita.
Namun, katanya penerjun yang terkenal dengan senyuman manis itu tidak akan mengambil bahagian dalam acara 3m papan anjal seirama wanita sekali gus terlepas peluang mempertahankan pingat emas dimenangi bersama Wendy Ng pada edisi lepas.
Sementara itu, Li Rui mengulangi pendirian skuad terjun negara untuk menyapu bersih kesemua lapan pingat emas dipertandingkan dalam acara tersebut.
"Disebabkan ada beberapa atlet yang akan membuat penampilan pertama mereka di pentas Sukan SEA, maka ia adalah cabaran kepada mereka dan keseluruhan skuad tetapi setakat ini kemajuan ditunjukkan memuaskan,” katanya.
Lapan acara terjun dipertandingkan pada Sukan SEA Hanoi adalah 10m platform seirama lelaki dan wanita; 3m papan anjal seirama lelaki dan wanita; 3m papan anjal individu lelaki dan wanita serta 1m papan anjal individu lelaki dan wanita.
-Bernama