Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Piala FA: Kedah sukar digugat, mara ke pusingan kedua

Kedah Darul Aman FC (KDA) FC membuktikan status bergelar penyandang kejuaraan Piala FA 2019 sukar digugat, apabila mudah menewaskan Sains FC 4-0 dalam aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam tadi.

Anak buah ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak mula menerobek gawang gol skuad Liga M3 itu seawal minit ke-18, menerusi jaringan Mohd Fayadh Mohd Zulkifli Amin untuk meletakkan pasukan di depan.

Tidak mahu terhenti di situ, Kedah menunjukkan taringnya apabila Mohd Fayadh sekali lagi meletakkan jurang pemisah, selepas menyumbat gol kedua buat dirinya dan pasukan pada minit ke-46 separuh masa pertama.

Babak kedua bersambung, giliran Mohammad Amer Azahar pula meledak gol bagi meletakkan Kedah dalam keadaan selesa menerusi jaringan pada minit ke-50.

Sains FC bagaimanapun terus dihukum apabila Mohammad Amer sekali lagi menjaringkan gol selang sembilan minit kemudian, dan keputusan kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Dalam pada itu di Kota Kinabalu, Sabah FC berhasil memanfaatkan kelebihan berlawan di halaman sendiri dengan menumpaskan Respect FC 2-0 dalam aksi di Stadium Likas, malam tadi.

Sabah dibimbing ketua juruatih Datuk Ong Kim Swee tidak mensia-siakan peluang untuk melangkah selesa ke pusingan kedua Piala FA, selepas jaringan sulung pemain tengah Ummareng Bacok pada minit ke-50 menerobos gawang gol skuad Liga M3 itu.

Penguasaan The Rhinos terus dinoktahkan selepas pemain pertahanan Nazirul Naim Che Hashim, menyudahkan hantaran cantik daripada pemain import Park Tae-soo dari Korea Selatan pada minit ke-85.

Dua aksi pusingan pertama Piala FA sahaja berlangsung pada malam ini selepas perlawanan di antara Melaka United dan PIB FC, dijadualkan berlangsung di Stadium Hang Jebat di Paya Rumput, Melaka terpaksa ditunda ke tarikh baharu berikutan kes penularan wabak COVID-19 dalam pasukan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS