Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Laos tunjukkan anak buah Maloney jalan keluar

Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan menutup kempen Kejuaraan B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Phnom Penh, Kemboja dengan keputusan memalukan selepas tersingkir seawal saingan kumpulan.

Lebih memeritkan, skuad bimbingan Ketua Jurulatih Brad Maloney itu gagal mengutip sebarang mata untuk melangkah ke peringkat separuh akhir selepas tewas 0-2 kepada Laos pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Morodok Techo, malam tadi.

Pada aksi wajib menang itu, pasukan negara ternyata menampilkan persembahan hambar sepanjang 45 minit pertama dengan siri hantaran pendek kurang kemas, hantaran jauh tidak sampai, kekurangan idea dan pendekatan taktikal yang mengelirukan.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya pihak lawan untuk mengatur serangan berbahaya sebelum kapten pasukan Bounphachan Bounkong akhirnya meletakkan Laos di depan menerusi sepakan percuma cantik pada minit ke-43.

Bounkong turut berpeluang meledak gol lebih awal, namun dua percubaan berbahayanya masing-masing seawal minit ketujuh dan ke-31 berjaya diselamatkan penjaga gol Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin.

Aksi separuh masa kedua menyaksikan beberapa pertukaran dilakukan Maloney, antaranya membawa masuk penyerang Azhad Harraz Azman dan Mohd Nureizkhan Isa Japar untuk mengubah corak permainan pasukan negara menjadi lebih menarik dan segar, namun mereka masih gagal menghadirkan percubaan berbahaya.

Sebaliknya Laos yang tenang menyerap tekanan, bijak mengambil peluang untuk menggandakan kedudukan pada minit ke-86 menerusi pemain gantian Souksakhone Bouaphaivanh, sekali gus mengesahkan kejayaan skuad kendalian Hans Michael Weiss.

Ia adalah kemenangan kedua Laos ke atas Malaysia pada saingan kumpulan selepas turut mengutip tiga mata dengan kejayaan 2-1 pada aksi pembukaan yang berlangsung di Stadium Prince, Jumaat lepas.

Bercakap dalam persidangan media secara dalam talian dari Phnom Penh, Maloney berkata para pemain berjaya menguasai permainan dalam banyak aspek, namun gagal untuk menjaringkan gol yang amat diperlukan.

“Jelas sekali kta perlu menang untuk melangkah ke peringkat berikutnya, namun kita gagal mencipta gol, walaupun banyak mengawal permainan. Kita gagal mencipta peluang untuk menjaringkan gol. Nampak jelas kita lemah di bahagian itu, sesuatu yang perlu ditangani,” katanya.

Sebagai rekod, saingan Kumpulan B hanya melibatkan Malaysia dan Laos, selepas Myanmar dan Indonesia menarik diri daripada kejohanan berikutan penularan Covid-19 dalam pasukan.

Hanya tiga juara kumpulan dan satu naib juara terbaik akan mara ke peringkat separuh akhir.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS