Bekas Ketua Jurulatih Skuad Olahraga Para Kebangsaan, R. Jaganathan kesal apabila emosi jaguh pecut para Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi 'dimainkan' dalam isu kontrak jurulatih yang tidak disambung baru-baru ini.
Jaganathan berkata perkhabaran beliau tidak akan meneruskan tanggungjawabnya membimbing skuad olahraga para kebangsaan telah sampai kepada Mohamad Ridzuan yang lebih mesra dengan panggilan 'Dek Wan', tanpa pengetahuannya.
Malah, menurutnya ketika itu beliau sendiri belum sempat berjumpa dan memaklumkan kepada pemenang pingat emas 100 meter (m) kategori lelaki T36 (cerebral palsy) Sukan Paralimpik Rio 2016 itu, bahawa kontraknya sebagai ketua jurulatih tamat hujung tahun lalu tidak disambung.
"Saya secara peribadi tidak bagi tahu beliau (Mohamad Ridzuan) kontrak saya akan tamat, jadi isu ini bangkit sebab wartawan datang dan mainkan perasaan dia.
"Ini semua salah faham, wartawan datang dan beritahu semuanya, jika mereka datang kepada saya secara peribadi saya akan terangkan dari A-Z," katanya pada sidang media Status Pelantikan Jurulatih Para Olahraga di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, semalam.
Pada sidang media tersebut, MSN mengesahkan kontrak jurulatih berusia 64 tahun itu tidak disambung bagi memberi laluan kepada jurulatih lebih muda dengan tugas ditinggalkan Jaganathan akan digalas pembantunya Ahmad Rafee Arifin.
Sebelum ini, isu rayuan Jaganathan untuk terus kekal dengan jawatannya menjadi tumpuan susulan reaksi Mohamad Ridzuan yang tidak dapat menahan sebak apabila ditanya mengenai nasib jurulatihnya itu ketika temu bual bersama sebuah stesen televisyen swasta.
"Mengenai perhubungan saya dengan atlet khususnya Mohamad Ridzuan, sudah tentu perasaan sedih itu timbul kerana kami telah lama bersama, saya yakin bahawa beliau memahami keadaan ini dan merestui persaraan saya.
“Jadi selepas ini jika terdapat sebarang persoalan, wartawan boleh berhubung dengan jurulatih terlebih dahulu sebelum berjumpa dengan atlet. Atlet ada perasaan. Kita perlu kerja seiring, cakap dahulu dengan jurulatih kemudian mereka akan beri taklimat kepada anda semua,” kata Jaganathan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Ahmad Shapawi Ismail berkata selain berhubung dengan jurulatih dan persatuan sukan, badan induk itu juga boleh menjadi sumber rujukan.
"Kalau boleh jika ada sesuatu yang tidak jelas, kami (MSN) berharap mereka dapat semak semula, baik dengan jurulatih mahupun persatuan dan daripada MSN sendiri," katanya.
Beliau berkata pihaknya telah menjangkakan isu tersebut akan menjadi perhatian, namun MSN tidak membuat keputusan secara bersendirian, sebaliknya ia berdasarkan persetujuan dan keputusan bersama banyak pihak demi kepentingan negara.
- Bernama