Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berharap agar semua pihak dapat menghentikan polemik atau andaian negatif dalam isu berkaitan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Lee Zii Jia.
Beliau yang mengadakan pertemuan dengan pemain perseorangan lelaki nombor satu negara itu petang tadi turut berharap agar kedua-dua pihak dapat mencari kata sepakat bagi memastikan imej Malaysia dalam sukan badminton dapat terus tersohor di peringkat dunia.
“Saya telah berpeluang untuk berjumpa dengan Zii Jia secara santai, tapi telah bincang tentang hasrat dan permasalahan beliau. Saya dimaklumkan esok beliau akan berjumpa dengan kepimpinan BAM dan mereka akan bincang.
“Saya harap perjumpaan esok dapat merungkai permasalahan yang kita sama-sama hadapi ini. Saya harap Zii Jia dapat berehat sewaktu Tahun baru Cina ini bersama keluarga,” kata Ahmad Faizal menerusi satu klip video yang dikongsikan dengan Bernama.
Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan tertutup dengan Zii Jia dan Goh Jin Wei selama sejam di ibu negara pada kira-kira pukul 5 petang tadi.
Ahmad Faizal turut berkongsi gambar pertemuan dengan Zii Jia dan Jin Wei di laman sosialnya, dan berkata semangat serta komitmen Zii Jia terhadap sukan badminton negara masih teguh.
“Selagi mana kita semua senada dalam mengutamakan kepentingan negara, kita boleh bergerak maju kehadapan,” menurut catatan di Facebooknya.
Jumaat lepas, Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos mengumumkan BAM tidak akan mendaftarkan Zii Jia untuk mana-mana kejohanan antarabangsa bagi tempoh dua tahun bermula 18 Jan ini.
Ia berikutan keputusan juara All England itu yang menghantar surat untuk keluar daripada BAM pada 11 Jan lepas, agar beliau dapat bergerak sebagai pemain profesional, dengan alasan tidak dapat menahan tekanan dan ‘regimented lifestyle’ di BAM.
Juara dunia remaja Jin Wei yang mengumumkan persaraan pada September lepas sebelum membuat pusingan-U untuk bergerak sebagai pemain profesional, turut tidak akan didaftar untuk kejohanan selama dua tahun bermula 31 Okt 2021.
Bagaimanapun BAM pada hari ini mengesahkan bahawa Zii Jia telah menghantar rayuan mengenai keputusan itu, dan berjanji ia akan mencari penyelesaian yang terbaik dengan segera.
Difahamkan, Ahmad Faizal dan Zii Jia akan mengadakan pertemuan secara berasingan dengan BAM esok.
- Bernama