Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Jin Wei: Penggantungan BAM dua tahun akan jejas kehidupan saya
Diterbitkan:  Jan 23, 2022 6:50 PM
Dikemaskini: 10:57 AM

Bekas pemain perseorangan wanita negara Goh Jin Wei berkata larangan menyertai kejohanan antarabangsa selama dua tahun dikenakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan menjejaskan kehidupan dan masa depannya.

Ini kerana katanya, bermain badminton adalah satu-satunya kemahiran dan tugas yang boleh digalasnya.

"(BAM) enggan bantu mendaftarkan nama saya dalam mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun.

"Dengan berkesan melarang saya untuk bersaing. Jika BAM enggan mendaftarkan nama saya, saya tidak dapat bermain di peringkat antarabangsa.

"Ini akan menjejaskan kehidupan saya. Badminton adalah satu-satunya kemahiran yang saya tahu dan itu tugas saya.

"Bagaimana saya dapat bertahan?" kata Goh dalam satu rakaman video yang dimuat baik di saluran You Tube peribadinya, semalam.

Terdahulu, BAM pada Jumaat lalu mengumumkan penggantungan Goh dan rakan sepasukan pemain kebangsaan Lee Zii Jia selama dua tahun, berikutan keputusan Lee untuk meletakkan jawatannya daripada BAM pada 11 Jan supaya dia boleh menjadi pemain bebas.

Goh, 22 juga berhasrat untuk meletakkan jawatan dalam persatuan itu tahun lepas kerana faktor kesihatannya.

Dia kemudian mempertimbangkan untuk kembali ke BAM sebagai pemain beregu campuran, sebelum mengumumkan keputusannya untuk berdikari.

Dalam video Goh malam tadi, juara dua kali Kejohanan Badminton Remaja Dunia itu berkata BAM telah pun menerima peletakan jawatannya pada September tahun lalu dan tidak ada sebarang bantahan sehingga kini.

Pun begitu jelas Goh, dia boleh mendaftar untuk menyertai Terbuka India yang diadakan bulan lalu.

"Hanya kerana saya menghormati badan kebangsaan (BAM) kita, jadi saya bersetuju mereka untuk menarik (keluar) nama saya daripada kejohanan dulu sebelum duduk dan bincang dengan mereka (mengenai rancangan saya).

"Jadi kenapa saya dapat mendaftarkan diri sebelum ini? 

"Jadi itu bererti saya mempunyai hak untuk bermain (dalam kejohanan) dan tidak melanggar mana-mana polisi," kata Goh lagi.

[Baca berita asal]


 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS