Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Bedah siasat Shebby selesai tetapi anak tidak seIesa dedahkannya
Diterbitkan:  Jan 13, 2022 4:18 PM
Dikemaskini: 8:26 AM

Jasad bekas pemain kebangsaan Serbegeth Singh dibawa ke Nirvana Memorial Centre Jalan Skudai, di Johor Bahru petang ini untuk penghormatan terakhir selepas proses bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Anak lelaki mendiang Sonuljit Singh, 32, berkata mereka yang ingin memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang boleh berbuat demikian bermula 4 petang ini sebelum jasadnya dibawa ke Krematorium Loke Yew di Kuala Lumpur, esok.

“Pada hari ini di Skudai, esok pula di Kuala Lumpur...jadi sesiapa yang ingin datang memberi penghormatan di Johor boleh datang. Esok pula kira-kira pukul 3 atau 4 petang di Krematorium Loke Yew, Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik HSA, di Johor Bahru hari ini.

Sonuljit pada masa sama menjelaskan proses bedah siasat mendiang Serbegeth Singh, 61, atau lebih dikenali sebagai Shebby berjalan lancar.

“Sudah selesai tetapi pada masa ini, saya tidak seIesa untuk mendedahkannya (keputusan bedah siasat), dan saya harap (media) beri kami sedikit ruang,” katanya.

Beliau pada masa sama turut menzahirkan penghargaan kepada semua rakyat Malaysia yang memberikan ucapan takziah atas pemergian bapanya.

“Terima kasih tidak terhingga atas ucapan kasih sayang dan penghargaan di media sosial, ia sungguh menakjubkan kerana baginya, beliau hanya mahukan yang terbaik untuk sukan bola sepak Malaysia. Macam cikgu, kadang-kadang marah, kadang-kadang puji tetapi pada akhirnya, beliau sayangkan bola sepak dan negara,” katanya.

Selain Sonuljit, turut kelihatan isteri mendiang Harbans Kaur yang juga bekas pelari negara serta anak sulung mendiang, Natassha Kaur, menunggu di luar pagar Jabatan Perubatan Forensik HSA.

Semalam, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi mengesahkan Shebby meninggal dunia ketika berbasikal di Sunway di Iskandar Puteri, kira-kira 7.30 malam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS