Menjadi atlet sepenuh masa dan menyumbang pingat buat negara pada setiap kejohanan yang disertainya, Rayzam Shah Wan Sofian terpaksa menelan hakikat pahit apabila elaunnya merosot kira-kira 60 peratus.
Jika sebelum ini dia dibayar RM2,000 sebulan oleh Majlis Sukan Negara, kini Rayzam hanya diberikan RM800.
“Kalau RM1,500 tak apa lagi, tapi kalau sudah jatuh sehingga RM800, saya pun terfikir-fikir mungkin lebih baik kerja lain sahaja yang berikan gaji lumayan... lebih baik kerja McDonald's,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia hari ini.
Atlet berusia 34 tahun itu sebelum ini pernah memenangi pingat emas Sukan SEA 2007 dan 2017 melalui acara 110 meter lari berpagar.
Dia juga menyumbang pingat perak untuk Malaysia pada Sukan SEA 2019 di Filipina.
Kata Rayzam dia memang terkilan dengan pemotongan tersebut dan dengan kadar sebegitu sudah pasti atlet sepetinya akan berdepan cabaran untuk memenuhi keperluan hidup seharian.
“Saya harap MSN ada budi bicara untuk mempertimbangkan potongan elaun ini kerana ramai atlet yang berjaya mengekalkan prestasi meskipun tanpa pingat emas," katanya yang tinggal di Sabah.
“Saya sudah berkeluarga, dengan RM800 apalah yang dapat saya buat, dengan tanggungan rumah, bil elektrik dan anak.
“Bagi saya, MSN perlu lebih telus dan ada budi bicara menilai prestasi atlet, tidak wajar pencapaian hanya dinilai berdasarkan pingat, bukan prestasi tahunan atau bahkan ranking di Asia,” katanya.