Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
'Lebih baik pecat menteri, timbalan menteri daripada gugurkan 144 atlet'
Diterbitkan:  Jan 6, 2022 11:32 AM
Dikemaskini: 3:32 AM

Bekas timbalan menteri belia dan sukan Steven Sim membidas pengguguran 144 atlet daripada program latihan kebangsaan, dengan mengatakan bahawa menteri dan timbalan menteri yang tidak berfungsi yang sepatutnya perlu digugurkan.

Sim turut membidas Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu kerana gagal mempertahankan kepentingan atlet terbabit.

“Lebih baik pecat 10 orang Menteri dan 10 Timbalan Menteri yang gagal daripada menggugurkan 144 atlet yang telah menyumbang kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, pada 29 Nov 2021, semasa perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Belanjawan 2022 Kementerian Belia dan Sukan, dia sebenarnya telah membangkitkan isu kekurangan dana yang diperuntukkan untuk sukan kompetitif.

“Sebagai contoh, bagi penyediaan sukan antarabangsa, kementerian hanya memperuntukkan RM17.5 juta untuk 2022, manakala kita akan menghadapi tiga acara sukan antarabangsa iaitu Sukan SEA Hanoi 2021, Sukan Asia Hangzhou 2022 dan Sukan Komanwel Birmingham 2022.

“Bandingkan peruntukan ini dengan Belanjawan 2018 yang mana RM71.5 juta telah diperuntukkan untuk Sukan Komanwel Gold Coast 2018 dan Sukan Asia Jakarta 2018,” katanya.

Sim berkata, dengan pengurangan mendadak ini, atlet dan, persatuan sukan tidak mendapat peruntukan yang mencukupi untuk menghadapi cabaran sukan antarabangsa tahun ini.

Dia turut menegur Ahmad Faizal dengan mengatakan bahawa menteri itu telah memberi janji kosong di Dewan Rakyat.

"Ketika saya membangkitkan jurang peruntukan belanjawan yang besar tersebut, Menteri Belia dan Sukan sendiri telah menjawab di Dewan Rakyat bahawa: 'Kami telah pun meneliti tentang perkara ini dan pihak MSN dan juga pihak KBS telah pun memberi komitmen bahawa segala perancangan daripada atlet-atlet kita dan juga persatuan-persatuan sukan yang akan mengambil bahagian tidak akan terabai dan memastikan mereka akan berada di tahap prestasi yang terbaik bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan'.

"Jelas, Menteri telah menipu di Parlimen apabila hanya sebulan selepas jaminan beliau bahawa KBS tidak akan mengabaikan para atlet, seramai 144 orang atlet telah digugurkan daripada program latihan sukan kebangsaan.

"Malah, ada sesetengah atlet negara telah mengadu bahawa KBS tidak berunding dengan mereka sebelum membuat keputusan untuk menamatkan perkhidmatan mereka.

"Ini telah memperlakukan atlet kebangsaan kita seakan-akan 'alat pakai buang' yang boleh disingkirkan bila-bila masa dengan begitu sahaja," katanya.

Jaminan kerja untuk atlet

Penamatan 144 atlet di bawah Program Latihan Majlis Sukan Negara (MSN) berlaku selepas Belanjawan 2022 menyaksikan sektor sukan hanya diperuntukkan RM244 juta.

Bekas juara dunia terjun Cheong Jun Hoong yang digugurkan segera mengumumkan persaraannya.

Cheong telah menggondol gelaran juara dunia kategori individu 10m pada Kejohanan Dunia 2017 di Budapest dan pingat perak pada 2016 dengan Pandelela Rinong di Sukan Olimpik Rio.

Terdahulu bekas pemain skuasy 5 terbaik dunia Low Wee Wern bertindak balas dengan sedih apabila digugurkan dengan berkata "Habis madu sepah dibuang."

Low baru-baru ini menjalani pembedahan lutut dalam usaha untuk pulih untuk Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun ini.

Atlet memerlukan jaminan pekerjaan

Sim berkata, atlet harus diberi jaminan kerjaya selepas sukan supaya mereka dapat memberi tumpuan sepenuhnya untuk mencapai kecemerlangan dalam sukan masing-masing.

Menurutnyta, perkara itu telah dimulakan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) melalui pengenalan Pusat Atlet yang bertujuan menjadi sebuah pusat sehenti bagi isu-isu berkaitan hak, kebajikan, kerjaya dan pendidikan atlet serta pelaksanaan khidmat perlindungan kesihatan seumur hidup untuk atlet kebangsaan.

"Ini bagi mewujudkan satu suasana yang lebih sihat di mana para atlet bukan sahaja dihormati dan dirunding dalam kerjaya sukan mereka malah akan dibimbing dengan lebih baik dari segi hak, kebajikan serta dan masa depan pasca-kerjaya sukan.

"Bagi saya, lebih baik pecat 10 orang Menteri dan 10 Timbalan Menteri bergaji besar dalam kabinet gergasi yang gagal untuk berfungsi daripada menggugurkan atlet yang telah sekian lama berkhidmat untuk negara tanpa sebarang ganjaran yang lumayan.

"Gaji Menteri dan Timbalan Menteri tersebut lebih daripada memadai untuk menampung kembali atlet kita dalam program latihan sukan mereka," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS