Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Lepas juara dunia bersara, k'jaan digesa pertimbang semula pemotongan bajet
Diterbitkan:  Jan 5, 2022 10:56 AM
Dikemaskini: 2:56 AM

Selepas persaraan seorang bekas juara dunia atlet acara terjun Cheong Jun Hoong semalam, Pemuda PKR (AMK) menggesa agar kerajaan mempertimbang semula pemberhentian 144 atlet negara daripada Program Latihan Majlis Sukan Negara (MSN).

MSN menjelaskan keputusan itu diambil ekoran program berkenaan tidak diberikan peruntukan dalam Belajawan 2022 - yang memperuntukkan hanya RM244 juta untuk industri sukan.

Cheong merangkul kejuaraan dunia acara 10 meter platform individu dalam Kejuaraan Dunia 2017 di Budapest, dan pingat perak dalam acara 10 meter platform seirama bersama Pandelela Rinong di Olimpik Rio pada 2016.

Menurut Ketua AMK Selangor, Chua Wei Kiat, ekoran itu, hanya 288 atlet dikekalkan yang berpotensi untuk memenangi pingat di Sukan SEA di Vietnam, Sukan Komanwel di Birmingham dan Sukan Asia di Hangzhou tahun ini, daripada keseluruhan 432 atlet.

“Difahamkan atlet yang telah mencipta sejarah untuk negara dalam pertandingan peringkat antarabangsa juga turut diberhentikan kerana kekurangan dana.

“[...] Adakah kita hanya perlu fokus kepada atlet untuk memenangi pingat sahaja sedangkan negara perlu bersedia melahirkan atlet pelapis yang berpotensi?” kata Chua dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, atlet skuasy yang pernah menduduki tangga kelima dunia Low Wee Wern, memberikan reaksi duka setelah digugurkan. “Rasanya seperti habis madu sepah dibuang”.

Low baru-baru ini menjalani pembedahan lutut dalam fasa pemulihan untuk persediaan ke Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun ini.

“Kerajaan sepatutnya memberi keutamaan kepada atlet samada dari segi kebajikan serta pembangunan sukan terutama latihan untuk para atlet.

“Kementerian Belia dan Sukan perlu bijak dalam menggunakan peruntukan sedia ada dan fokus kepada pembangunan sukan, bukannya kepada perkara yang kurang keperluan.

“AMK menggesa pihak kerajaan mempertimbang semula pemotongan dana kerana perkara ini menjejaskan pembangunan sukan negara apatah lagi dalam usaha negara mencari atlet pelapis selain prestasi sukan negara yang merundum,” kata Chua, yang juga Adun Rawang.

Tambahnya, adalah lebih baik jika kerajaan berhenti membazir jutaan ringgit menerusi lantikan duta khas bertaraf antarabangsa yang katanya langsung tidak berfungsi.

“Sebarang lantikan yang membawa kepada pembaziran perlu dibatalkan dan pulangkan semula peruntukan kepada industri sukan agar negara mampu menghasilkan atlet bertaraf dunia,” tambahnya.

Buat masa ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mempunyai empat duta khas, iaitu Abdul Hadi Awang (duta khas ke Timur Tengah), Tiong King Sing (duta khas ke China), Richard Riot (duta khas ke Jepun, Korea, dan Taiwan) dan SA Vigneswaran (duta khas ke India dan Asia Selatan)


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS